Eurocopter KSU Kewangan tidak hadir mesyuarat PAC ditunda Isnin

Diterbitkan: Khamis, 30 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi meneliti isu pembelian Eurocopter hanya berlangsung tidak sampai sejam hari ini sebelum ditunda sehingga Isnin ini.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, mesyuarat tersebut terpaksa ditunda disebabkan ketidakhadiran Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) Kewangan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Kementerian Kewangan hanya diwakili oleh seorang setiausaha bahagian.

"Walaupun tinggi (jawatan berkenaan) tetapi tidak begitu tinggi seperti pegawai yang kita perlukan iaitu kita nak KSU Kementerian Kewangan itu sendiri yang hadir.

"Ini adalah kerana sebagai penjaga dalam urusan pembelian, kewangan dan sebagainya adalah tanggungjawab KSU Kementerian Kewangan.

"Jadi kita tangguhkan mesyuarat pada hari ini sehingga hari Isnin iaitu pada 3 November depan," kata beliau pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Azmi berkata, PAC memandang serius perkara ini kerana pembelian helikopter tersebut merupakan isu berprofil tinggi dan ia memerlukan pegawai tertinggi untuk hadir bagi memberikan penjelasan dengan pada masa sama KSU boleh dibantu oleh pegawai bawahannya. Ditanya sama ada KSU memberikan alasan berhubung kegagalan beliau untuk hadir pada mesyuarat tersebut, Azmi berkata, alasan yang diberi tidak begitu meyakinkan.

Azmi berkata, pada Isnin ini juga PAC akan memanggil semula Bahagian Teknikal Kementerian Pertahanan berikutan masih terdapat beberapa isu yang perlu dijawab oleh mereka yang bertanggungjawab.

Katanya, pada peringkat ini pihaknya tidak nampak keperluan untuk memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memberikan taklimat berhubung pembelian berkenaan.

Mesyuarat PAC yang ditangguhkan semalam tetap diadakan walaupun pada Selasa lalu, kerajaan memutuskan penangguhan pembelian helikopter terbabit.

Azmi berkata, mesyuarat tersebut tidak hanya memberi tumpuan kepada isu pembelian Eurocopter sebaliknya turut menyentuh mengenai perkara-perkara yang menjadi tanggungjawab jawatankuasa tersebut.

"Kita ada banyak perkara yang ingin dibincangkan dalam mesyuarat ini, Eurocopter adalah salah satu daripadanya," katanya yang ditemui selepas mesyuarat tersebut berhenti rehat di Parlimen semalam.

Mesyuarat tersebut dijadualkan berlangsung selama dua hari.

Azmi berkata, isu yang melibatkan Eorocopter semalam membincangkan perkara-perkara teknikal yang dibentangkan oleh Kementerian Pertahanan.

Hari ini ia dijadual menyentuh aspek kewangan yang melibatkan Kementerian Kewangan.

Selasa lalu, Abdullah sewaktu mengumumkan penangguhan pembelian Eurocopter Selasa lalu berkata, PAC diberi peluang untuk memperhalusi mengenai perkara yang berkaitan dengan cadangan pembelian 12 buah Eurocopter EC-725.

"Yang itu (mesyuarat PAC) telah diputuskan oleh Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu supaya PAC diberi peluang untuk menghalusi mengenai perkara berkaitan cadangan untuk membeli helikopter ini.

"Ini pun ada juga baiknya. Biarlah mereka tahu apakah prosedur yang telah kita gunakan... mengapakah begitu tinggi (harganya)... apa sebab-sebabnya," katanya.

Kerajaan telah memutuskan untuk menangguhkan pembelian 12 Eurocopter EC-725, yang diumumkan awal bulan lalu bagi menggantikan Nuri, ekoran kesan krisis kewangan yang dihadapi negara.

Pada 3 September lalu, Kementerian Pertahanan menerima keputusan dan persetujuan daripada Kementerian Kewangan untuk memilih tender Eurocopter, pesawat milik Eurocopter Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat European Aeronautic Defence and Space Co (EADs) dan kementerian itu mengeluarkan Surat Hasrat kepada Eurocopter pada 15 September 2008.

Bagaimanapun isu pembelian 12 Eurocopter EC-725 itu timbul semula sebaik ianya diumumkan Abdullah pada 26 September lalu.

Isu ini turut dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober lalu yang ingin mengetahui ketelusan dalam pembelian Eurocopter kerana didakwanya memberi keuntungan kepada pihak-pihak tertentu.

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan