Abdullah mahu anggota tentera pertingkat kemahiran

Diterbitkan: Khamis, 30 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, anggota tentera perlu memperbaiki kemahiran diri dalam penggunaan senjata moden bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab mempertahankan negara.

Katanya, anggota tentera adalah benteng pertahanan negara dan kerana itu mesti wujud kesungguhan dalam diri mereka untuk mempertingkatkan kemahiran pada setiap masa.

Perdana Menteri berkata, dalam angkatan bersenjata, mempertingkatkan modal insan adalah satu fokus yang paling penting kerana ia akan menjamin semua persenjataan moden boleh dikendalikan secara optimum.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bulanan di Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Ini adalah perhimpunan bulan beliau yang pertama selepas mengambil alih kementerian itu daripada Timbalan beliau, Datuk Seri Najib Razak bulan lepas.

Katanya, kemahiran mengendalikan senjata moden adalah sangat penting bagi anggota tentera untuk menakutkan musuh.

"Apa guna kita beli senjata atau peralatan canggih tetapi kita hanya tahu menggunakan 10 daripada 20 fungsi peralatan itu," katanya.

Abdullah juga berkata, kerajaan akan sentiasa berusaha memastikan kebajikan anggota tentera sentiasa terpelihara.

Pada masa sama, katanya, anggota angkatan tentera juga perlu mempertingkatkan usaha untuk memperbaiki prestasi kerja masing-masing.

Abdullah mengakhiri ucapan beliau dengan ungkapan "bekerjalah dengan saya."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan