Zaki berikrar bertindak ke atas hakim dan pegawai kehakiman tidak jujur

Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Tan Sri Zaki Tun Azmi hari ini berjanji akan mengambil tindakan tegas dan drastik terhadap segelintir kecil hakim dan pegawai kehakiman yang tidak jujur dan tidak bertanggungjawab sehingga mencemar imej institusi kehakiman.

Selain menyatakan beliau tidak akan teragak-agak bertindak terhadap golongan itu, beliau juga mahu agar budaya ampu-mengampu di kalangan hakim dan pegawai kehakiman dihentikan segera.

Semua gejala-gejala negatif yang boleh melunturkan kepercayaan masyarakat kepada institusi kehakiman, katanya, mesti diperbaiki segera sebelum ia merebak.

"Kita harus sentiasa ingat bahawa gaji kita dibayar dari kock rakyat. Sekiranya kita merasakan tidak mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik, mungkin kerana merasa beban kerja terlalu berat, atau gaji yang diterima dirasakan tidak memadai, kita perlulah ingat bahawa kita ada pilihan sama ada untuk terus memikul bebanan itu untuk kepentingan awam ataupun meninggalkan institusi ini untuk kepentingan diri sendiri.

"Betapa besar pun kepentingan kita dan betapa resahnya kita atas layanan itu, kita mesti ingat bahawa kepentingan awam adalah jauh lebih besar. Sekiranya kita memilih untuk terus berada dalam institusi itu, maka kita hendaklan memberikan yang terbaik," katanya ketika berucap di majlis perlantikan beliau sebagai Ketua Hakim Negara ke-12 di Istana Kehakiman di sini.

Zaki berkata, hakim-hakim dan pegawai kehakiman perlu mempertingkatkan tahap kecekapan masing-masing bagi memastikan sistem penyampaian berjalan lancar.

Jika malu mengakui kelemaha kita, bagaimana kita hendak mengatasinya, tambah beliau lagi.

Menurutnya, sejak dilantik Presiden Mahkamah Rayuan setahun yang lalu beliau telah cuba melakukan pelbagai perubahan terutama di bahagian pendaftaran dan di Mahkamah Rayuan sehingga telah berjaya mengurangkan jumlah kes tertunggak ke tahap yang amat membanggakan.

Kaedah pendaftaran, katanya, telah dipermudah dan dipercepatkan dan surat-menyurat kini dibalas dengan cepat sementara kerenah birokrasi yang selama ini membelenggu bahagian pendaftaran Mahkamah Rayuan kini ditahap yang paling minimum atau dihapuskan sama sekali.

Beliau mengakui bahawa badan kehakiman pada keseluruhannya berhadapan dengan masalah yang amat besar, bukan sahaja kerana tanggapan mengenai rasuah, tetapi juga untuk mengatasi masalah kes yang tertunggak dan kelewatan menyelesaikan kes.

"Rakyat menghadapi ketidak adilan jika kes-kes mereka lewat selesai," katanya sambil berjanji akan berusaha mencari jalan memperbaiki sistem penyampaian keadilan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan