Anwar bidas dakwaan abai rakyat Sabah Sarawak ketika dalam kerajaan

Diterbitkan: Rabu, 22 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membidas kenyataan beberapa ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang mendakwa beliau mengabaikan kepentingan rakyat negeri itu sewaktu berkhidmat dalam kerajaan terutamanya ketika memegang jawatan Menteri Kewangan.

Anwar yang merupakan ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, sepanjang beliau memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan, banyak peruntukan telah diluluskan untuk pembangunan di Sabah dan Sarawak.

"Tapi oleh kerana prasangka buruk begitu, ini semua (peruntukan) dinafikan.

"Dibangkitkan juga kononnya saya abaikan rakyat di sana...mungkin waktu itu beliau masih di bangku sekolah," katanya.

Semalam, Salleh Kalbi (BN-Silam) mendakwa Anwar bersikap bermuka-muka dalam membela nasib rakyat Sabah dan Sarawak dan berkata sikap prihatin yang ditunjukkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu sekarang adalah semata-mata ingin meraih simpati dan sokongan daripada rakyat negeri itu.

Anwar membuat penjelasan tersebut ketika sesi perbahasan Bajet 2009 oleh Johari Abdul (PKR-Sungai Petani).

Jelasnya, sepanjang menjadi menteri dalam kerajaan dan sejak Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia sehingga beliau disingkirkan dari kerajaan pada tahun 1998, beliau telah meluluskan peruntukan paling besar kepada rakyat negeri itu.

"Malah dalam tempoh satu tahun, ada tambahan RM800 juta kepada Sabah dan RM200 juta kepada Sarawak," katanya.

Anwar juga menyelar tindakan beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang bersuara secara sembunyi mempertikaikan kredibilitinya sewaktu menjadi menteri dahulu.

"Mereka jerit macam pelesit, menyorok di sebalik pembesar suara...memang itu bukan pahlawan.

"Kalau benar dia itu pendekar dan pahlawan, bangun berucap dan jawab, bukan berselindung di balik meja," katanya.

Anwar sempat berseloroh sambil berkata: "Perangai macam tu hodoh, kalau benar-benar pendekar yang mulia lagi amin, bangunlah jawab."

Kata-kata Anwar itu menyebabkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mencelah: "Yang itu sudah Yang Dipertua...dan cuma satu-satunya."

Celahan Pandikar Amin itu mengundang tawa ahli-ahli Dewan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan