Tengku Razaleigh harapkan pencalonan persidangan masuk minggu ke2

Diterbitkan: Sabtu, 18 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Persidangan Perwakilan Umno Bahagian masuk minggu kedua dengan tumpuan menjurus sama ada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan memperoleh pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden parti.

Sekurang-kurangnya 40 bahagian akan mengadakan persidangan masing-masing hari ini dan esok.

Difahamkan persidangan hari ini akan diadakan sebelah pagi.

Sehingga kini setelah 30 bahagian mengadakan mesyuarat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak telah menyapu bersih kesemua pencalonan manakala Tengku Razaleigh, pemimpin pertama yang menawarkan diri untuk kerusi tersebut belum memperoleh sebarang pencalonan.

Jawatan Presiden terbuka untuk persaingan selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memutuskan untuk tidak mempertahankan kedudukannya dalam pemilihan Mac depan.

Ketika ditemui di Kota Bharu baru-baru ini, Tengku Razaleigh berkata, beliau menawarkan alternatif kepada ahli-ahli untuk memimpin parti.

"Saya masih yakin akan memperoleh sokongan. Sebab itu saya menawarkan diri," kata beliau yang pertama kali bertanding jawatan Presiden pada 1987 tetapi tewas dengan 43 undi kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu yang mengetengahkan visi termasuk mengubah sistem pemilihan jika berpeluang memenangi jawatan Presiden mengakui sedang berhadapan dengan halangan tetapi menyerahkan kepada ahli-ahli untuk memutuskan sokongan mereka.

Beliau yang menekankan tentang keperluan perubahan pucuk kepimpinan sejak Mac lalu telah berulang kali berkata, akan bertanding jawatan Presiden sama ada Abdullah mempertahankan kedudukannya ataupun tidak.

Di sebalik keyakinan Tengku Razaleigh itu, Najib yang telah menguasai 30 pencalonan memerlukan 28 lagi minggu ini untuk memperoleh pencalonan minimum sebanyak 58 untuk melayakkan diri bertanding jawatan Presiden.

Pemerhati-pemerhati melihat beliau akan memperolehnya minggu ini.

Najib merupakan antara tiga anak bekas Perdana Menteri kini mendahului senarai pencalonan pemilihan peringkat pusat Umno dengan dua daripada mereka sudah pun melepasi had kelayakan untuk bertanding.

Najib, kini Timbalan Presiden; Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Exco Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir berada di kedudukan teratas senarai pencalonan masing-masing jawatan Presiden, Naib Presiden dan Ketua Pemuda.

Bagi jawatan Naib Presiden, Hishammuddin pula telah memperoleh 25 pencalonan, disusuli Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (16), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (15), Datuk Seri Mohd. Khaled Nordin (11), Datuk Seri Syed Hamid Albar (6), Datuk Seri Dr. Rais Yatim (4), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad (4), Datuk Seri Shahidan Kassim (3), Datuk Seri Mohamad Hasan (2), Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (2), Tan Sri Annuar Musa (1).

Jawatan itu memerlukan pencalonan minimum 20.

Bagi jawatan Timbalan Presiden yang memerlukan 39 pencalonan, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperoleh 24 pencalonan manakala Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhamad Taib masing-masing tiga pencalonan.

Bagi jawatan Ketua Pemuda, Mukhriz telah memperoleh 42 pencalonan sehingga petang semalam.

Beliau disusuli oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dengan 21 pencalonan; Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo (12) dan Datuk Zahidi Zainul Abidin pula satu pencalonan.

Najib merupakan anak kepada Perdana Menteri kedua, Hishammuddin (anak Perdana Menteri Ketiga) dan Mukhriz pula anak Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri keempat.

Kini Najib merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan manakala Hishammuddin mengetuai Kementerian Pelajaran.

Mukhriz, Ahli Parlimen Jerlun tidak memegang apa-apa jawatan dalam Kabinet.

Pencalonan terbaru malam tadi bagi Mukhriz diperoleh daripada Bahagian Merbok.

Selain bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri juga mengadakan persidangan masing-masing.

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Isnin, 14 Ogos 2017 12:30 PM

“Mira Filzah Lemah Lembut” - Zizan Razak

Kolumnis

iklan

Iklan