Pilihan raya kampus Tujuh milik proAspirasi dua tiada pertandingan

Diterbitkan: Jumaat, 17 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Perkembangan terkini pilihan kampus yang mula diadakan minggu ini menyaksikan tujuh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berpihak kepada pro-Aspirasi dan juga calon bebas yang mendokong matlamat universiti dan kerajaan.

Tujuh IPTA berkenaan ialah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Darul Iman (UDM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Bagi UniMAP dan UDM, kedua-dua IPTA berkenaan memberi kemenangan percuma kepada calon-calon yang menawarkan diri kerana kesemuanya diumum menang tanpa bertanding.

UniMAP yang menjalankan proses penamaan calon pada Isnin lalu, terus memperoleh keputusan itu sebaik sahaja tempoh untuk calon-calon meyerahkan borang pencalonan mereka ditutup pada pukul 11 pagi.

Sebanyak 28 kerusi dipertandingkan bagi penggal pengajian 2008/2009.

Daripada jumlah itu, tujuh adalah kerusi umum dan baki sebanyak 21 merupakan kerusi fakulti.

Mantan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP, Mohd Alwie Mohd Syaisulyapp ketika dihubungi berkata, perkara tersebut bukan disebabkan wujudnya halangan kepada mana-mana individu yang ingin menawarkan diri untuk bertanding.

"Tiada halangan kepada sesiapa, kami jalankan prosesnya (penamaan calon) seperti biasa dengan membuka masa pencalonan dari pukul 9 hingga 11 pagi.

"Tapi hingga pukul 11 pagi hanya 28 calon yang mengemukakan borang, jadi mereka sapu bersihlah semua kerusi yang dipertandingkan," katanya.

Sambil menegaskan tiada sebarang label diperkenalkan di universiti berkenaan mengenai status pengundi sama ada 'proaspirasi' atau 'promahasiswa', beliau berkata matlamat utama MPP ialah bagi memperjuangkan hak mahasiswa.

"Kita tak guna sebarang label, semua calon bertanding atas tiket individu atau bebas yang bermatlamat untuk menjaga kebajikan mahasiswa dan mendokong usaha universiti bagi manaikkan nama universiti," katanya.

Sementara itu perkara yang berbeza berlaku kepada UDM yang didakwa mempunyai agenda tersembunyi disebalik kemenangan semua 22 kerusi yang dipertandingkan.

Semua calon proaspirasi yang menawarkan diri menang tanpa bertanding kerana kumpulan promahasiswa dihalang hak mereka.

Mantan anggota MPP universiti berkenaan yang enggan dikenali mendakwa perkara ini disebabkan oleh strategi pihak-pihak tertentu untuk memastikan calon proaspirasi terus menguasai universiti itu.

"Promahasiswa dinafikan hak untuk bertanding dalam pemilihan kali ini, jadi inilah yang berlaku," katanya.

Bagi penggal lalu UDM memperuntukkan sebanyak 18 kerusi namun untuk penggal pengajian 2008/2009 sebanyak empat kerusi lagi ditambah menjadikan jumlah keseluruhan 22 kerusi.

Menurut beliau pada penggal yang lalu juga penguasaan MPP di universiti tersebut berpihak kepada proaspirasi.

Sejak Kementerian Pengajian Tinggi memberikan autonomi kepada pihak pengurusan IPTA untuk menjalankan pilihan raya kampus masing-masing mengikut kesesuaian, beberapa buah IPTA lagi akan mengadakan pemilihan minggu depan.

Berdasarkan jadual terkini, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan mengadakan pemilihan masing-masing pada 21 dan 23 Oktober ini.

Bagi sebilangan IPTA lain iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaya akan mengadakan pilihan raya mereka Januari depan.

IPTA lain masih belum menentukan tarikh pilihan raya kampus masing-masing.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan