Pilihan raya kampus Proaspirasi kuasai UUM UDM

Diterbitkan: Khamis, 16 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pilihan raya kampus bagi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) penggal pengajian 2008/2009 sehingga kini menyaksikan dua buah universiti dikuasai proaspirasi.

Kedua-dua universiti berkenaan ialah Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM).

Keputusan bagi pilihan raya kampus UUM diumumkan pada pukul 10 malam semalam dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 82.91 peratus atau seramai 15,126 pelajar daripada 19,401 pelajar yang layak mengundi.

Sebanyak 36 kerusi dipertandingkan tetapi difahamkan tidak kesemua seratus peratus dimenangi kumpulan proaspirasi berbanding sesi pengajian lalu.

Pada sesi lalu kumpulan proaspirasi menyapu bersih kesemua kerusi dipertandingkan.

Daripada jumlah itu, 12 kerusi dipertandingkan di kawasan umum, 24 bagi kawasan kolej iaitu masing-masing lapan bagi Kolej Sastera dan Sains, Kolej Perniagaan dan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa dan satu kerusi untuk pelajar antarabangsa.

Bagi UDM, keputusan rasmi hari ini mengesahkan kesemua calon proaspirasi menang tanpa bertanding.

Bekas anggota MPP universiti berkenaan yang enggan dikenali berkata, keputusan tersebut disebabkan tiada sebarang pertandingan bagi merebut kesemua 22 kerusi yang dipertandingkan.

"Hari ini sudah jelas, walaupun tiada sebarang pengumuman dibuat, tapi semua mahasiswa telah mengetahui mereka (proaspirasi) menang tanpa bertanding.

"Promahasiswa dinafikan hak untuk bertanding dalam pemilihan kali ini, jadi inilah yang berlaku," katanya kepada mStar Online.

Jelas beliau perkara ini disebabkan oleh strategi pihak-pihak tertentu untuk memastikan calon proaspirasi terus menguasai universiti berkenaan.

Bagi penggal lalu UDM memperuntukan sebanyak 18 kerusi namun untuk penggal pengajian 2008/2009 sebanyak empat kerusi lagi ditambah menjadikan jumlah keseluruhan 22 kerusi.

Mengikut jadual, hari ini lima universiti mengadakan pilihan kampus mereka termasuk UDM, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan