Pilihan raya kampus Bebas tentu tarikh tiada kaitan PRU12

Diterbitkan: Rabu, 15 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Perubahan sistem menentukan tarikh pilihan raya kampus - pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) - yang lebih fleksibel mulai tahun pengajian kali ini tiada kaitan dengan kesan pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Mulai tahun pengajian 2008/09, pilihan raya MPP tidak akan diadakan serentak pada hari yang sama, sebaliknya diserahkan kepada pengurusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk menentukan tarikh masing-masing.

Sebelum ini tarikh pilihan raya kampus bagi 20 buah IPTA ditentukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Dalam pilihan raya umum lalu lima kerajaan negeri dikuasai pembangkang iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan dan Selangor.

Kesemua negeri itu mempunyai IPTA iaitu Selangor empat buah manakala Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kelantan masing-masing sebuah.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron berkata pengenalan sistem baru itu adalah bagi memberi kuasa yang lebih kepada pihak universiti untuk menguruskan pilihan raya kampus masing-masing mengikut kesesuaian.

"Tiada, tiada kaitan dengan politik luar kampus mahupun pilihan raya umum lalu.

"Pembaharuan yang kementerian lakukan ini bertujuan memberi lebih autonomi kepada pihak pengurusan universiti dalam soal ini," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Idris berkata, melalui sistem baru itu pihak universiti berhak menentukan sepenuhnya tarikh yang difikirkan sesuai untuk mengadakan pilihan raya kampus.

Katanya, pihak universiti hanya perlu memaklumkan kepada KPT mengenai tarikh-tarikh yang telah diputuskan untuk simpanan dan rekod.

"Jika dulu KPT akan keluarkan notis mengenai bila tarikh pembubaran MPP dan juga tarikh pilihan raya, tapi sekarang KPT merasakan adalah lebih baik ia ditentukan sendiri oleh pihak universiti tanpa ganguan daripada KPT," katanya.

Tambah beliau pihak universiti lebih mengetahui mengenai kesesuaian berdasarkan jadual universiti masing-masing bagi mengelakkan pertembungan dengan tarikh peperiksaan akhir semester yang berbeza antara universiti.

"Dulu kita adakan (pilihan raya) serentak seluruh negara, tapi sekarang mereka bebas memilih bila masa yang sesuai untuk adakannya tanpa terikat dengan KPT," katanya.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadi universiti pertama membubarkan MPP mereka berkuat kuasa 19 September lalu.

Yang Dipertua MPP universiti berkenaan berkata kemungkinan pilihan raya kampus mereka akan ditangguhkan hingga Januari tahun hadapan.

Bagi Universiti Utara Malaysia (UUM), mereka akan mengadakan pilihan raya bagi memilih barisan MPP baru esok dengan menyaksikan 36 kerusi akan dipertandingkan.

Mengulas lanjut, Idris berkata, KPT juga tidak akan mencampuri urusan pemilihan wakil MPP di setiap universiti.

"Soal kumpulan pro-kerajaan ataupun tidak itu tidak timbul kerana KPT menerima siapa sahaja wakil-wakil yang dipilih oleh mahasiswa untuk menjadi pemimpin mereka.

"Apa yang lebih penting ialah wakil-wakil yang akan dipilih nanti mampu memainkan peranan dengan baik terutamanya dalam memperjuangkan hak mahasiswa," katanya.

Namun beliau berkata, seharusnya mahasiswa tidak mencampuri urusan politik luar dengan politik dalam kampus kerana begitu banyak tugas dan tanggungjawab yang perlu dipikul golongan pemimpin mahasiswa ini.

Ditanya sama ada KPT akan menghantar wakilnya untuk membuat pemantauan semasa pilihan raya kampus diadakan, beliau berkata perkara itu bukan satu keperluan.

"Tidak perlu kita hantar wakil. Cukuplah pihak pengurusan universiti itu sendiri yang menjalankan proses pemantauan dalaman bagi memastikan kelancaran pemilihan itu nanti," katanya.

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Kolumnis

iklan

Iklan