Kerajaan tangguh projek besar

Diterbitkan: Rabu, 15 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji semula perlaksanaan projek-projek besar berikutan masalah ekonomi yang dihadapi dunia ketika ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, langkah mengkaji semula itu akan melibatkan projek-projek yang pembinaannya belum dimulakan, termasuk projek-projek di bawah lima korridor yang telah diumumkan kerajaan sebelum ini.

Katanya, tindakan menangguhkan projek-projek besar ini perlu terutama projek-projek yang melibatkan kos yang tinggi memandangkan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu sekarang.

"Kaji semula ini melibatkan semua projek dalam negara, termasuk korridor. Yang mana kita masih boleh laksanakan kita akan teruskan, tetapi yang pembinaannya belum dimulakan, kita tangguhkan.

"Tetapi satu perkara yang kita nampak sekarang ini, kita masih terus mendapat pelaburan daripada negara-negara tertentu kerana pendekatan kita adalah untuk mendapatkan pelaburan daripada negara-negara yang telah kita sasarkan, iaitu dari negara-negara yang mempunyai tabungan berlebih untuk melabur dalam projek-projek tertentu di negara ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Biro Tata Negara hari ini.

Abdullah berkata demikian apabila ditanya sama ada kerajaan akan membuat kajian semula terhadap projek-projek besar berikutan kemelesetan ekonomi yang mula melanda beberapa negara besar dunia.

Menurut Perdana Menteri keputusan menangguhkan projek-projek yang terlibat telahpun dibuat baru-baru ini dan ia adalah satu keputusan yang sangat wajar pada masa ini.

Ditanya mengenai prospek negara mencapai pertumbuhan seperti yang diunjurkan, Abdullah berkata ekonomi Malaysia masih boleh bertahan kerana tahap eksport negara masih berada di tahap yang tinggi dengan imbangan perdagangan yang baik.

"Kadar Ringgit kita juga stabil dan dari segi suasana dalam negara juga semakin baik dan tenteram. Di samping itu kita juga telah tentukan pendekatan yang boleh diambil untuk menghdapi situasi sekarang yang boleh mencabar kedudukan kita agar impaknya tidak terlalu buruk," tambahnya.

Ekonomi negara juga, katanya, masih dapat bertahan kerana ia tidaklah terlalu bergantung pada pasaran Amerika Syarikat berikutan langkah-langkah mencari pasaran baru bagi keluaran negara, terutama pasaran dalam negara-negara Asean dan China.

Beliau juga mengajak rakyat agar mempunyai keyakinan terhadap ekonomi Malaysia dengan membuat pelaburan dalam negara bagi membantu negara menghadapi pelbagai cabaran berikutan masalah ekonomi dunia.

Kerajaan, katanya, akan terus berusaha meyakinkan rakyat tentang keutuhan ekonomi serta menggalakkan mereka berbelanja di dalam negara untuk memacu pertumbuhan ekonomi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan