Pemilihan Gerakan Ko Youn menang Timbalan Presiden

Diterbitkan: Sabtu, 11 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Pengerusi Gerakan Perak, Datuk Chang Ko Youn berjaya memenangi jawatan Timbalan Presiden parti tersebut dengan 851 undi sekaligus menewaskan bekas Ketua Pemuda Gerakan Wilayah Persekutuan, Ma Woei Chyi dengan 635 undi.

Keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Seri Chia Kwang Chye kira-kira jam 5.45 petang tadi.

Sementara itu, bagi tiga kerusi Naib Presiden telah berjaya disandang oleh bekas Ketua Pemuda, Datuk Mah Siew Keong dengan 1153 undi, penyandang, Datuk Dr.S.Vijayaratnam dengan 678 undi dan bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) pusat, Huan Cheng Guan dengan 568 undi.

Bagi jawatan AJK Pusat, daripada 18 yang berjaya menjawat jawatan tersebut, lapan daripadanya adalah Pengerusi Gerakan negeri iaitu Ng Chiang Chin (Kelantan), Teo Kok Chee (Johor), Yap Kea Ping (Terengganu), A. Kohilan Pillay (Selangor), Dr Cheah Soon Hai (Kedah), Chang Khee Choong (Negeri Sembilan), Lee Ah Fat (Melaka) dan Dr. Ng Keong Chye (Pahang).

Sementara itu, dua daripada empat wanita yang bertanding turut berjaya merebut kerusi tersebut iaitu Ketua Wanita Pulau Pinang, Ng Siew Lai dan Ketua Wanita Wilayah Persekutuan Jayanthi Dewi Balaguru.

Penyandang-penyandang lain adalah Lau Chin Hoon, Vincent Hooi Wy-Hoon, Tang Chang Yeow, Lau Yeng Peng, Ong Thean Lye, Wong Mun Hoe, Liang Teck Meng dan Dr Hsu Dar Ren.

Sebanyak 1493 undi telah dikeluarkan iaitu 72 peratus daripada 2080 ahli yang layak mengundi.

Chang yang berjaya menjawat jawatan Timbalan Presiden ketika ditemui selepas kemenanganya menyifatkan ia sebagai sesuatu yang bukan untuk diraikan tetapi lebih kepada tanggungjawab berat dalam suasana politik dan ekonomi yang dialami negara pada masa ini.

"ni merupakan satu tanggungjawab berat. Gerakan dalam masa enam bulan sehingga satu tahun akan datang akan membuat banyak keputusan penting yang akan menentukan nasib parti," katanya.

Beliau berkata, sebahagian faktor kemenangannya adalah kerana beliau telah bergerak secara aktif di seluruh negara sejak 13 tahun lalu semenjak beliau menjawat jawatan Ketua Pemuda pada tahun 1996.

"Bagaimanapun, yang penting adalah semua ahli harus bekerjasama dan tidak boleh bergantung kepada seorang sahaja," katanya.

Chang berkata, tugas pertama yang ingin dilakukannya adalah untuk memulihkan semangat ahli parti yang kebanyakannya pudar selepas kekalahan mereka pada pilihan raya umum yang lalu.

"Saya juga ingin memberi fokus kepada memperkukuh organisasi parti dengan mengadakan perjumpaan dengan akar umbi di seluruh negara. Kita tahu apa yang mahu dilakukan dan hala tuju kita selepas ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon, menyifatkan kepimpinan baru parti itu sebagai gandingan yang mantap.

"Mengikut undi yang diterima, para perwakilan dilihat mengutamakan mereka yang sering berhubung dengan akar umbi.

"Contohnya bagi jawatan Naib Presiden, Mah sebelum ini adalah bekas Ketua Pemuda dan juga bekas Timbalan Menteri yang sering berjumpa akar umbi atas tugas rasmi. Vijay adalah bekas Naib Presiden yang sering menghadiri mesyuarat di sana sini dan Huan juga adalah bekas ahli Parlimen," katanya.

Berhubung perbahasan pada persidangan tertutup parti itu, Koh berkata, kebanyakan wakil memberi tumpuan kepada lapan strategi yang digariskannya iaitu cara untuk mengukuhkan parti bagi meningkatkan komitmen dan memperbaiki organisasi parti.

"Memang ada banyak pandangan bernas yang dicadangkan. Yang penting bukan sama ada Gerakan berada di dalam atau luar Barisan Nasional (BN) tetapi bagaimana parti dapat bersatu padu dan mengemukakan perspektif keMalaysiaan yang dapat menarik sokongan rakyat.

"Terdapat juga ulasan mengenai komitmen Perdana Menteri terhadap pembaharuan yang akan diusahakan dan sememangnya ia (pembaharuan) menarik perhatian perwakilan," katanya.

BERITA TERDAHULU

KUALA LUMPUR: Hari ini merupakan hari yang penting bagi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) apabila teraju kepimpinan bagi penggal baru parti tersebut bakal diketahui malam ini.

Para perwakilan dari seluruh negara mula membanjiri ibu pejabat parti itu di Menara PGRM, di sini, bermula jam 8 pagi.

Pemilihan bagi pemegang jawatan telah bermula jam 11 pagi selepas upacara perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan 2008 disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tan Sri Koh Koon yang memangku jawatan Presiden parti sejak tahun lalu telah diumumkan menang tanpa bertanding kerusi tersebut pada hari penamaan calon parti itu pada 4 Ogos lalu

Sementara itu, jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Naib Presiden Datuk Chang Ko Youn dan bekas Ketua Pemuda Gerakan Wilayah Persekutuan, Ma Woei Chyi.

Bagi tiga kerusi Naib Presiden, berbeza dengan 10 calon yang tercalon minggu lalu, Gerakan hari ini akan menyaksikan pertandingan melibatkan sembilan orang termasuk seorang penyandang iaitu Datuk Dr. S. Vijayaratnam apabila seorang lagi penyandang, Datuk Dr. Teng Hock Nan mengambil keputusan menarik diri.

Lapan muka baru yang turun gelanggang ialah Datuk Mah Siew Keong, Huang Cheng Guan, Dr. Asharuddin Ahmad, Datuk Robin Loh, Parameswaran Ganason, S. Paranjothy, Datuk Lim Thuang Seng dan Datuk Lum Weng Keong. Dr Asharuddin mencatat sejarahnya sendiri apabila menjadi wakil Melayu pertama yang bertanding jawatan tersebut.

Sementara itu, seramai 39 orang akan bertanding merebut 18 kerusi ahli jawatankuasa kerja (AJK) pusat, berbeza dengan 40 orang yang tercalon minggu lalu apabila seorang calon, Yong Yoon Kong menarik diri.

Daripada jumlah itu, sembilan orang adalah pengerusi Gerakan peringkat negeri termasuk Ng Chiang Chin (Kelantan), Teo Kok Chee (Johor), Yap Kea Ping (Terengganu), A. Kohilan Pillay (Selangor), Dr Cheah Soon Hai (Kedah), Chang Khee Choong (Negeri Sembilan), Lee Ah Fat (Melaka), Dr. Ng Keong Chye (Pahang) dan Gordon Leong Vui Cheung (Sabah).

Selain itu, empat calon wanita yang turut bertanding jawatan tersebut adalah Ketua Wanita Pulau Pinang Ng Siew Lai, bekas timbalan ketua wanita Yong Dai Ying, ketua wanita Wilayah Persekutuan Jayanthi Dewi Balaguru dan Speaker Wanita Ong Kin Suan. Calon-calon lain adalah Cheong Ching Lian, Dr G.Krishnan, K.Supramaniam, A.Rethinavelu, S.Pandian, Vincent Hooi Wy-Hon, Lee Chee Pheng, Ong Thean Lye, Wong Mun Hoe, Stephen Doss, Ching Su Chen, Teng Chang Yeow dan Ong Tong Keong dan Chang Khee Choong.

Yang lain adalah Lau Yeng Peng, Yaw Kan Choy, Victor Choo Hock Chuan, Dr Hsu Dar Ren, Liew Yew Aw, Lau Chin Hoon, Liang Teck Meng, Tang Hiang Lye, Teng Yoon Soon, Chong Hak Beang, Chong Tuck Chiew dan Chong Voon Chow dan Thong Ah Nee.

Pertandingan bagi merebut tiga jawatan naib presiden dan 18 jawatan AJK pusat itu merupakan pertandingan yang paling sengit dalam sejarah Gerakan sejak ditubuhkan pada tahun 1968.

Keputusan pemilihan akan diumumkan pada majlis makan malam Gerakan yang akan diadakan pada jam 7 malam ini.

Persidangan dua hari ini akan tamat pada tengah hari esok.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan