Kes Anwar ditangguh sehingga 31 Oktober

Diterbitkan: Khamis, 9 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Selepas tiga hari pihak pembelaan berhujah berhubung bantahan mengenai kesahihan sijil pemindahan ke Mahkamah Tinggi yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Mahkamah Sesyen hari ini memutuskan untuk menyambung sesi penghujahan pada 31 Oktober depan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim S.M. Komathy Suppiah setelah mempertimbangkan pemintaan pihak pembelaan yang diketuai Sulaiman Abdullah kerana anak guamnya akan menghadiri persidangan Dewan Rakyat bermula Isnin depan.

Hakim juga mengarahkan supaya arahan yang dikeluarkan semalam bagi mengenepikan afidavit Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk laporan-laporan akhbar yang memetik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang mengatakan Peguam Negara tidak boleh terlibat dalam kes liwat ini agar tidak disiarkan di media ditarik balik.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah kembali bersidang pada pukul 3.10 petang tadi.

Sebelum itu, prosiding pada sebelah pagi tadi bermula dengan Sulaiman berhujuah untuk meminta hakim menarik balik arahan kepada media yang dilarang menyiarkan afidavit Anwar mengenai pertuduhan terhadap Abdul Gani.

Bagaimanapun Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata arahan itu hanya digunapakai hingga prosidingnya selesai.

Alasan yang diberikan pihak pendakwa itu ialah terdapat media yang salah melaporkan fakta di dalam prosiding bantahan awal permohonan pendakwa raya untuk memindahkan kes liwat ini ke Mahkamah Tinggi.

Sulaiman akan kembali berhujah pada 31 Oktober depan.

BERITA TERDAHULU

KUALA LUMPUR: Status permohonan sama ada kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi terus menjadi tanda tanya dengan Mahkamah Sesyen sebentar tadi menangguhkan sidangnya sehingga esok.

Perkara itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen S.M. Komathy Suppiah apabila ketua pasukan peguam Anwar, Sulaiman Abdullah meminta masa sehingga petang ini untuk meneruskan penghujahan beliau.

Bagaimanapun hakim tersebut memaklumkan bahawa ia akan didengar pukul 10 pagi esok kerana beliau mempunyai kes lain untuk didengar petang ini.

Sidang hari ini bermula pukul 11.15 pagi tadi.

Malah Mahkamah Sesyen melarang media daripada menyiarkan kandungan bahan bukti berhubung kejadian "mata lebam" yang dialami beliau 10 tahun lepas.

Hakim mengeluarkan perintah itu atas permohonan pihak pendakwaan.

Bahan bukti yang dimaksudkan merupakan laporan akhbar, satu laporan polis dan satu kenyataan berhubung kejadian itu yang berlaku pada 1998.

Terdahulu, dalam hujahnya, Ketua Unit Pendakwaan, Pejabat Peguam Negara, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden berkata, penerbitan kandungan bahan bukti berkenaan oleh media akan mencemarkan lagi nama baik Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

"Kandungan bahan bukti itu hanya merupakan desasdesus dan jika mahkamah membenarkan media melaporkannya, maka orang ramai akan mempunyai persepsi atau tanggapan sendiri dan bukan mencari kebenaran di sebalik kisah itu," katanya.

Bagaimanapun, Sulaiman berkata, mahkamah tidak sepatutnya melarang media daripada melaporkan kandungan bahan bukti berkenaan, yang telah dibaca secara terbuka di mahkamah, termasuk afidavit Anwar yang menyokong permohonannya agar kes itu tidak dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Semalam Mahkamah Sesyen menangguhkan sehingga pagi ini untuk mendengar sambungan hujahan terhadap kesahihan sijil pemindahan yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Semalam pihak pendakwaan memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen menolak bantahan awalnya berhubung kesahihan sijil pemindahan.

Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden ketika ditanya media berkata, pihak pendakwaan telah mengemukakan surat kepada hakim Mahkamah Tinggi memaklumkan perkara itu pada 2 petang semalam.

Bagaimanapun, Mohamed Yusof berkata, mahkamah belum menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan semakan tersebut.

Semalam Komathy memutuskan bahawa beliau mempunyai budi bicara untuk mendengar hujahan berhubung bantahan pembelaan yang mempersoalkan kesahihan sijil yang dikemukakan oleh pendakwaan untuk memindahkan kes liwat terhadap Anwar ke Mahkamah Tinggi.

Komathy menolak bantahan awal pendakwaan yang berhujah bahawa mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar bantahan pembelaan berhubung kesahihan sijil pemindahan.

Pendakwaan telah berhujah bahawa adalah mandatori bagi Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 418A(3) Kanun Prosedur Jenayah untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi sebaik sahaja sijil pindah dikeluarkan oleh pendakwaan.

Pembelaan telah membantah permohonan pendakwaan yang mahu kes Anwar itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dengan menyatakan sijil pemindahan itu tidak sah kerana ia ditandatangani Peguam Negara yang sedang disiasat oleh Badan Pencengah Rasuah berikutan satu laporan polis yang dibuat oleh Anwar.

Laporan polis itu ialah berhubung dakwaan memalsukan keterangan dalam kejadian "mata hitam" Anwar pada 1998.

Anwar, 60, didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 1151, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan