Janji 5 tahun 5 inisiatif 5 bulan lagi

Diterbitkan: Khamis, 9 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ANALISIS: Hujung Oktober ini genap lima tahun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih kepimpinan kerajaan dan Umno serta menerajui Barisan Nasional (BN) daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Peristiwa itu direkodkan sebagai tanggal bersejarah pada 31 Oktober 2003.

Nampaknya, pada bulan Oktober juga Abdullah mengumumkan peralihan kuasa secara muktamad, yang telah dipinda dan diperawalkan iaitu semalam pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN - dua minggu selepas Majlis Tertinggi Umno mengadakan mesyuarat khas.

Lima bulan selepas menerajui kepimpinan Abdullah mengetuai pilihan raya umum ke-11 dengan gaya, sekali gus memperoleh satu prestasi rekod, yang tidak pernah dicatatkan oleh mana-mana perdana menteri sebelum ini.

Perdana Menteri yang kelima ini membawa slogan "bekerja bersama saya, bukan bekerja untuk saya" dan manifesto BN pilihan raya 2004 antara lain menggariskan beberapa pembaharuan demi kesejahteraan rakyat.

Mengambil kira pengumuman Abdullah semalam, beliau mempunyai tempoh 'bersih' selama lima bulan lagi untuk mengotakan, melaksana dan merealisasikan segala apa yang dicita-citakan selama lima tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Sejak memimpin negara bermula 31 Oktober hingga sekarang, Abdullah telah mengetengahkan banyak aspek bagi memastikan negara yang makmur, aman dan selamat.

Ini termasuklah mewujudkan sistem pentadbiran yang cekap dan bersih daripada amalan-amalan tidak sihat. Beberapa tindakan beliau memperlihatkan kejayaan dan sesetengah tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna, sekali gus gagal memenuhi harapan rakyat.

Kegagalan itu dilihat sebagai punca prestasi BN yang lebih rendah Mac lalu berbanding keputusan pilihan raya umum 2004.

Di sebalik ada sesetengah pihak telah menganggap Abdullah akan bertanding mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Umno, ada yang bertanya apa yang boleh dilakukan oleh Abdullah dalam tempoh singkat sebelum menyerahkan tampuk kepimpinan kepada penggantinya.

Sambil mengakui bertanggungjawab ke atas prestasi BN yang tidak memberangsangkan Mac lalu, Abdullah mahu meneruskan dan mahu memastikan rakyat merasai impian dan cita-cita melahirkan negara yang makmur dan sejahtera kepada semua.

"Tempoh saya sebagai Presiden Umno akan tamat pada bulan Mac 2009. Namun, ada beberapa inisiatif yang saya ingin laksanakan sebelum saya menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada bakal pengganti saya.

"Inisiatif-inisiatif ini adalah penting untuk membolehkan negara kita terus melangkah maju. Inisiatif-inisiatif ini akan memperbaiki daya saing negara dan membolehkan Malaysia mengharungi cabaran-cabaran luaran yang pasti mendatang," katanya.

Lima inisiatif yang akan dilaksanakan Abdullah sepanjang lima bulan akan datang ialah menubuhkan tiga agensi penting iaitu Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Aduan Khas.

Selain itu Abdullah mahu kekayaan dan hasil kemakmuran negara perlu diagihkan secara lebih adil ke serata negara. Ini termasuk dalam inisiatif ekonomi.

Abdullah juga mahu memastikan negara mengadakan Konvensyen Barisan Nasional awal tahun depan. Beliau mahu melihat kerajaan dan BN memperbaharui komitmen mereka terhadap usaha mewujudkan sebuah Negara yang bersatu dan harmoni.

Mampukah Abdullah melaksanakan kesemua lima inisiatif ini menjelang Mac depan selepas sebahagiannya ini telah diutarakan sepanjang lima tahun kepimpinan beliau. Mungkin beliau akan berjaya, mungkin tidak. Masa yang akan menentukan!

Pun begitu kita kena yakin dan memberikan Abdullah peluang menjelang hari-hari akhir kepimpinannya.

Justeru sudah pasti beliau mengharapkan sokongan daripada rakyat seluruh negara dan parti khususnya Umno yang akan sibuk dengan soal pemilihan pucuk kepimpinan bahagian dan pusat sehingga Mac akan datang.

Malah beliau memerlukan sokongan penggantinya dalam hal ini kerana tempoh lima bulan akan datang lebih mencabar berbanding lima tahun lalu.

Abdullah akan berhadapan dengan cabaran lebih menyeluruh dari sudut psikologi dan politik kerana sesetengah pihak, termasuk mereka yang akan diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan kelima-lima inisiatif ini kemungkinan memikirkan bahawa dari segi sistem politik Perdana Menteri akan bersara Mac depan dan beliau "tiada kuasa besar".

Inisiatif ini memerlukan sokongan padu daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan anggota perundangan dan pentadbiran yang lain termasuk pembangkang.

Malaysia akan dipimpin selama kira-kira 160 hari lagi oleh Abdullah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan