Pindah kes Anwar Mahkamah sidang esok media dilarang siar bahan bukti

Diterbitkan: Rabu, 8 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Status permohonan sama ada kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi terus menjadi tanda tanya dengan Mahkamah Sesyen sebentar tadi menangguhkan sidangnya sehingga esok.

Perkara itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen S.M. Komathy Suppiah apabila ketua pasukan peguam Anwar, Sulaiman Abdullah meminta masa sehingga petang ini untuk meneruskan penghujahan beliau.

Bagaimanapun hakim tersebut memaklumkan bahawa ia akan didengar pukul 10 pagi esok kerana beliau mempunyai kes lain untuk didengar petang ini.

Sidang hari ini bermula pukul 11.15 pagi tadi.

Malah Mahkamah Sesyen melarang media daripada menyiarkan kandungan bahan bukti berhubung kejadian "mata lebam" yang dialami beliau 10 tahun lepas.

Hakim mengeluarkan perintah itu atas permohonan pihak pendakwaan.

Bahan bukti yang dimaksudkan merupakan laporan akhbar, satu laporan polis dan satu kenyataan berhubung kejadian itu yang berlaku pada 1998.

Terdahulu, dalam hujahnya, Ketua Unit Pendakwaan, Pejabat Peguam Negara, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden berkata, penerbitan kandungan bahan bukti berkenaan oleh media akan mencemarkan lagi nama baik Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

"Kandungan bahan bukti itu hanya merupakan desasdesus dan jika mahkamah membenarkan media melaporkannya, maka orang ramai akan mempunyai persepsi atau tanggapan sendiri dan bukan mencari kebenaran di sebalik kisah itu," katanya.

Bagaimanapun, Sulaiman berkata, mahkamah tidak sepatutnya melarang media daripada melaporkan kandungan bahan bukti berkenaan, yang telah dibaca secara terbuka di mahkamah, termasuk afidavit Anwar yang menyokong permohonannya agar kes itu tidak dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Semalam Mahkamah Sesyen menangguhkan sehingga pagi ini untuk mendengar sambungan hujahan terhadap kesahihan sijil pemindahan yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Semalam pihak pendakwaan memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen menolak bantahan awalnya berhubung kesahihan sijil pemindahan.

Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden ketika ditanya media berkata, pihak pendakwaan telah mengemukakan surat kepada hakim Mahkamah Tinggi memaklumkan perkara itu pada 2 petang semalam.

Bagaimanapun, Mohamed Yusof berkata, mahkamah belum menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan semakan tersebut.

Semalam Komathy memutuskan bahawa beliau mempunyai budi bicara untuk mendengar hujahan berhubung bantahan pembelaan yang mempersoalkan kesahihan sijil yang dikemukakan oleh pendakwaan untuk memindahkan kes liwat terhadap Anwar ke Mahkamah Tinggi.

Komathy menolak bantahan awal pendakwaan yang berhujah bahawa mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar bantahan pembelaan berhubung kesahihan sijil pemindahan.

Pendakwaan telah berhujah bahawa adalah mandatori bagi Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 418A(3) Kanun Prosedur Jenayah untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi sebaik sahaja sijil pindah dikeluarkan oleh pendakwaan.

Pembelaan telah membantah permohonan pendakwaan yang mahu kes Anwar itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dengan menyatakan sijil pemindahan itu tidak sah kerana ia ditandatangani Peguam Negara yang sedang disiasat oleh Badan Pencengah Rasuah berikutan satu laporan polis yang dibuat oleh Anwar.

Laporan polis itu ialah berhubung dakwaan memalsukan keterangan dalam kejadian "mata hitam" Anwar pada 1998.

Anwar, 60, didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 1151, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan