Tsu Koon dipilih Presiden Gerakan tanpa dicabar

Diterbitkan: Sabtu, 4 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Tan Sri Koh Tsu Koon yang memangku jawatan Presiden Gerakan sejak tahun lalu, hari ini menang tanpa bertanding kerusi tersebut.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu diumumkan menang tanpa dicabar sebaik proses penamaan calon bagi jawatan-jawatan induk parti itu ditutup 12 tengah hari tadi.

Tsu Koon menggantikan Tun Dr. Lim Keng Yaik yang bersara April tahun lalu.

Sementara itu, jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Naib Presiden Datuk Chang Ko Youn dan bekas Ketua Pemuda Gerakan Wilayah Persekutuan, Ma Woei Chyi.

Bagi tiga kerusi Naib Presiden, Gerakan menyaksikan pertandingan melibatkan 10 orang termasuk dua penyandang iaitu Datuk Dr. S. Vijayaratnam dan Datuk Dr. Teng Hock Nan.

Lapan muka baru yang turun gelanggang ialah Datuk Mah Siew Keong, Huang Cheng Guan, Dr. Asharuddin Ahmad, Datuk Robin Loh, Parameswaran Ganason, S. Paranjothy, Datuk Lim Thuang Seng dan Datuk Lum Weng Keong.

Seramai 40 orang merebut 18 kerusi jawatankuasa kerja pusat.

Daripada jumlah itu, sembilan orang adalah pengerusi Gerakan peringkat negeri termasuk Ng Chiang Chin (Kelantan), Teo Kok Chee (Johor), Yap Kea Ping (Terengganu), A. Kohilan Pillay (Selangor), Dr Cheah Soon Hai (Kedah), Chang Khee Choong (Negeri Sembilan), Lee Ah Fat (Melaka), Dr. Ng Keong Chye (Pahang) dan Gordon Leong Vui Cheung (Sabah).

Selain itu, empat calon wanita yang turut bertanding jawatan tersebut adalah Ketua Wanita Pulau Pinang Ng Siew Lai, bekas timbalan ketua wanita Yong Dai Ying, ketua wanita Wilayah Persekutuan Jayanthi Dewi Balaguru dan Speaker Wanita Ong Kin Suan.

Calon-calon lain adalah Cheong Ching Lian, Dr G.Krishnan, K.Supramaniam, A.Rethinavelu, S.Pandian, Vincent Hooi Wy-Hon, Lee Chee Pheng, Ong Thean Lye, Wong Mun Hoe, Stephen Doss, Ching Su Chen, Teng Chang Yeow dan Ong Tong Keong dan Chang Khee Choong.

Yang lain adalah Lau Yeng Peng, Yaw Kan Choy, Victor Choo Hock Chuan, Dr Hsu Dar Ren, Liew Yew Aw, Lau Chin Hoon, Liang Teck Meng, Tang Hiang Lye, Teng Yoon Soon, Chong Hak Beang, Chong Tuck Chiew, Yong Yoon Kong, Chong Voon Chow dan Thong Ah Nee.

Pemilihan akan diadakan sempena Persidangan Perwakilan Tahunan pada 11 dan 12 Oktober ini.

Koh berkata, pertandingan antara 10 orang bagi merebut tiga jawatan naib presiden dan 40 orang bagi 18 jawatan ahli jawatankuasa pusat itu mencatat rekod kerana melibatkan paling ramai calon bagi dua jawatan tersebut sejak parti itu ditubuhkan pada tahun 1968.

Katanya, bilangan calon yang ramai untuk tampil ke depan itu menunjukkan masih ada yang berminat dan percaya kepada parti dan mempunyai komitmen untuk memberikan sumbangan.

"Justeru, saya amat mengalu-alukan semangat positif dan amat menggalakkan ini." katanya ketika sidang media selepas mengumumkan nama calon bagi badan induk parti Gerakan di Menara PGRM di sini, hari ini.

Ditanya sama ada bilangan calon yang ramai menunjukkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli terhadap pucuk pimpinan, Koh berkata, beliau memandang kesediaan calon termasuk daripada golongan pemuda dan wanita secara positif kerana mereka bersedia menawarkan diri dan mempunyai semangat untuk berkhidmat kepada parti.

Dalam pada itu, Koh melihat kemenangannya tanpa bertanding hari ini lebih kepada satu tanggungjawab besar dan bukan hanya sebagai kejayaan dan penghargaan terhadapnya.

"Saya tidak mempunyai sebarang andaian sebelum ini sama ada akan menang tanpa bertanding.

"Sehingga semalam pun, mereka masih membincangkan tentang kemungkinan akan ada calon lain yang akan menawarkan diri," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa terima kasih dan terhutang budi kepada semua ahli kerana dipilih sebagai presiden.

"Saya berjanji akan bertungkus lumus, berganding bahu dengan semua pemimpin dan bekerjasama dengan semua pihak di dalam dan luar parti Gerakan untuk sama-sama membina balik kekuatan Barisan Nasional (BN) dan negara," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Koh juga mengumumkan bahawa setiausaha agung parti, Datuk Seri Chia Kwang Chye yang tidak bertanding pada pemilihan kali ini akan dilantik bagi satu jawatan kepimpinan pusat Gerakan yang akan diumumkan kelak selepas Persidangan Perwakilan Kebangsaan minggu depan.

Ditanya mengenai keputusannya menjadi pencadang atau penyokong pada penamaan calon hari ini, Koh berkata, beliau berbuat demikian sebagai penghargaan kepada mereka yang ingin bertanding dan menyerahkan kepada perwakilan untuk memutuskan.

Semalam, Datuk Tan Lian Hoe berjaya mengekalkan jawatan Ketua Wanita Gerakan tanpa bertanding.

Lian Hoe, Ahli Parlimen Lenggong, merupakan Timbalan Menteri Penerangan.

Pada 3 Ogos lalu, beliau telah menang tanpa bertanding mengekalkan jawatan Ketua Wanita Gerakan Perak yang disandang sejak 2005.

Pada pemilihan parti lepas, beliau memenangi jawatan Ketua Wanita Gerakan selepas mengalahkan Ketua Wanita Gerakan Kuala Lumpur Surin Leong Soo Yong dengan majoriti selesa 218 undi.

Jawatan Naib Ketua Wanita pula akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara ketua Wanita Negeri Sembilan Chin Nyuk Chin; Ketua Wanita Melaka, Yong Fuie Moy; Ketua Wanita Kedah, Eng Gaik Hong; dan Ketua Wanita Selangor, Azmar Md Ilias.

Jawatan Timbalan Ketua Wanita menyaksikan persaingan antara Ketua Wanita Pulau Pinang, Ng Siew Lai dan Ong Kim Suan.

Sementara itu, seramai 19 calon akan merebut 18 jawatan Ahli Jawatankuasa Wanita Kebangsaan.

Dalam pada itu, jawatan Ketua Pemuda Gerakan pula menyaksikan persaingan tiga penjuru iaitu Timbalan Ketua Pemuda pusat, Lim Si Pin; Ketua Pemuda Kedah, Tan Keng Liang dan Ketua Pemuda Negri Sembilan, Chai Tek Loong.

Ketua Pemuda pusat Gerakan kosong selepas penyandang jawatan itu, Datuk Mah Siew Keong sudah melebihi umur 45 tahun untuk terus memimpin saya tersebut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan