Samakan habuan seks sedekah, Ahli Majlis Perak disaran bertaubat - Berita Semasa | mStar

Samakan habuan seks sedekah, Ahli Majlis Perak disaran bertaubat

Diterbitkan: Jumaat, 26 September 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan, yang menyamakan habuan seks dengan sedekah setelah mendakwa dirinya diperangkap oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) melakukan perbuatan itu dengan seorang wanita dari China, disarankan supaya bertaubat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharuddin, yang terkejut dan kesal dengan kenyataan itu berkata, sebagai orang Islam, Zul seharusnya faham dan sedar ungkapan yang digunakan itu secara terang telah memalukan umat Islam.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau juga meminta ulama khususnya daripada Pas memberikan nasihat dan mentarbiyyah Zul.

"Janganlah pula selepas ini ulama-ulama Pas mencari dalil dan alasan untuk menutup perkara berkenaan," katanya.

Zul, seorang anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), membuat kenyataan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) untuk meminta jabatan itu menyiasat dan mengambil tindakan terhadap orang tertentu yang kononnya telah memfitnah, menghina dan menganiaya beliau kerana mendakwa dia terlibat dalam skandal seks membabitkan wanita dari China itu.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria sebelum ini berkata bahawa kenyataan Zul itu biasanya dikeluarkan oleh orang yang jahil tentang hukum agama selain merupakan satu tindakan yang cukup bodoh jika kenyataan itu bertujuan mempertahankan diri daripada kesalahan yang telah dilakukan.

Zainol Fadzi, yang juga Ketua Pemuda Umno Perak, berkata pengakuan seorang lagi anggota PKR, Fairul Azrim Ismail, 30, bahawa dia (Fairul Azrim) telah mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita China juga membuktikan amalan rasuah telah berlaku dalam sebuah kerajaan (Pakatan Rakyat Perak) yang kononnya mengamalkan prinsip kebenaran dan ketelusan.

"Malah kepada Penasihat PKR sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengakuan tersebut merupakan satu kejayaan besar kepada beliau kerana telah berjaya mendidik anakanak buahnya menjadi berani mengakui perbuatan yang dilarang dalam Islam," katanya.

Fairul Azrim pernah ditahan BPR berhubung dakwaan rasuah dan seks membabitkan sebuah projek pembangun di Seri Iskandar dekat sini tetapi dilepaskan pada 21 Ogos lalu.

Zul pula bersama-sama juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Ruslan Sahat, dan dua Exco Perak dari PKR, Kapten (B) Mohd Osman Mohd Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi, serta bekas Adun Bota juga dari PKR, Kapten (B) Usaili Alias, kini menghadapi 16 tuduhan rasuah yang akan dibicarakan serentak selama tiga hari bermula 11 Februari depan di Mahkamah Sesyen di sini.

PKR Perak dijadual mengadakan satu sidang akhbar berhubung kontroversi kenyataan Zul dan pengakuan Fairul Azrim itu di sini pada 10 pagi esok. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan