1 Okt sasaran baru Pakatan, Anwar masih berharap temui PM

Diterbitkan: Rabu, 24 September 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Selepas dua permintaan Pakatan Rakyat ditolak Perdana Menteri minggu lalu, kini perikatan pembangkang itu meletakkan tarikh sasaran yang baru - 1 Oktober ini - cuba merealisasikan pelan menukar kerajaan.

Ketika ditemui wartawan di Kota Baru hari nii, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau masih berharap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menemui beliau untuk membincangkan perkara yang telah dibangkitkan sebelum ini.

"Saya tidak faham mengapa sukar bagi Dollah (Abdullah) untuk bertemu.

"Pertemuan antara kerajaan dan pembangkang adalah urusan biasa. Di mana-mana negara, ia selalu berlaku," kata beliau selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

"Saya menggesa Abdullah agar mempertimbangkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan menghormati sistem demokrasi.

"Beliau seharusnya tidak takut dengan ahli-ahli parti beliau. Gunakan kedudukan beliau untuk memanggil sidang khas Parlimen," kata beliau lagi.

Pada 16 September lalu, Abdullah telah pun menolak permintaan Anwar agar diadakan pertemuan bagi membincangkan keadaan politik semasa negara dan membincangkan proses peralihan kerajaan secara aman, dan syor diadakan sidang khas Parlimen hari ini, yang dikemukakan dua hari kemudian.

Sasaran 16 September dan 23 September sudah pun berlalu.

Sambil menegaskan masih mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi, Anwar berkata, beliau tidak boleh dengan sewenang-wenangnya membentuk kerajaan disebabkan adanya bilangan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dalam jumlah yang memadai untuk melompat parti.

"Saya tidak boleh pergi dan mengetuk pintu di Putrajaya, mengatakan saya mempunyai jumlah wakil yang mencukupi. Ini merupakan proses perundangan dan perlu mematuhi Perlembagaan Persekutuan, justeru ia akan mengambil sedikit masa tetapi akan bermula dengan pertemuan bersama Dollah (Abdullah)," katanya.

Kata Anwar, bagi mengelakkan ketidakstabilan politik, pembentukan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan akan dibuat menerusi Parlimen.

"Saya masih berharap untuk menemui Abdullah untuk perundingan.

"Apabila ia berlaku, perkara-perkara lain yang berkaitan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri boleh dibincangkan. Kami mempunyai bilangan (wakil rakyat BN).

"Kerajaan (pimpinan BN) lemah dan kini mengenakan undang-undang kejam ke atas rakyat. Ekonomi berada dalam krisis.

"Saya mahu bertemu dan berkongsi idea bagaimana hendak membincangkan masalah-masalah negara. Beliau tidak akan mengalami kerugian jika bertemu kami," katanya.

Anwar juga menolak saranan supaya pihak ketiga menggerakkan pertemuan beliau dengan Perdana Menteri.

Katanya, usaha pihak ketiga tidak diperlukan dalam hal tersebut.

Terdahulu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua ketika dihubungi berkata, Pakatan Rakyat akan terus memastikan peralihan kuasa akan berlaku pada tarikh tersebut walaupun sidang Parlimen tergempar bagi membolehkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri ditolak.

"Kita sasarkan peralihan kuasa secara aman akan berlaku sebelum hari raya nanti.

"Ataupun satu persefahaman ke arah itu (peralihan kuasa) akan dapat dicapai pada 1 Oktober nanti," katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, Pakatan Rakyat sedang mengatur satu rundingan dengan wakil Perdana Menteri bagi membincangkan mengenai perlihan kuasa antara kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.

"Perdana Menteri enggan menemui kita, jadi kita akan berusaha untuk berurusan dengan pegawai-pegawainya untuk berbincang.

"Kami percaya melalui perbincangan kita dapat membentuk kerajaan dalam keadaan aman," katanya.

Ditanya sama ada Pakatan Rakyat mempunyai perancangan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agung bagi memohon perkenan membentuk kerajaan baru, beliau berkata, perkara itu perlu diuruskan dengan cara terbaik.

"Sebelum kita mengadap Yang di-Pertuan Agung, lebih baik kita selesaikan dengan rakyat biasa dahulu," katanya.

Anwar mengumumkan saran Pakatan Rakyat membentuk kerajaan menjelang 16 September pada 1 April lalu.

Esok, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan mendengar hujah berhubung permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes liwat terhadap Anwar ke Mahkamah Tinggi.

"Esok mahkamah akan mendengar hujah kedua-dua pihak untuk mementukan permintaan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi," kata salah seorang peguam Anwar, Sankara Nair ketika dihubungi.

Bagaimanapun beliau tidak pasti sama ada mahkamah akan membuat keputusan esok ataupun sebaliknya kerana ia bergantung kepada mahkamah selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak.

"Sukar untuk dikatakan sekarang... kami ada banyak perkara untuk dihujah," katanya.

Pada 10 September lalu, Hakim S.M. Komathy Suppiah menetapkan esok ekoran bantahan terhadap permohonan itu oleh peguam Anwar, Sulaiman Abdullah.

Anwar, 60, yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen mengaku tidak bersalah pada 7 Ogos lepas terhadap tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lalu.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Anwar kini dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000.

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan