Tan serah letak jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah esok

Diterbitkan: Ahad, 21 September 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah dijangka menyerahkan sendiri surat peletakan semua jawatan dalam kabinet negeri kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman esok.

Tan, Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (Sapp) yang tidak bersetuju dengan tindakan parti hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan keputusan keluar dari gabungan Barisan Nasional (BN), berkata, beliau akan menyertai Musa pada majlis penyampaian kueh raya dan di situ akan memberikan surat letak jawatan.

"Saya akan serahkan sendiri surat peletakan jawatan.

"Saya fikir adalah penting saya tidak menulis surat dan meninggalkannya di pejabat beliau. Ini soal budi bahasa dan hormat kepada seseorang. Saya harus jumpa beliau," katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Mengenai statusnya dalam parti, Tan berkata, beliau masih anggota parti, walaupun beliau rasa parti itu semacam tidak perlukan beliau lagi.

Bagaimanapun, Tan berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan dari parti kecuali parti mahukan beliau berbuat demikian.

Ditanya sama ada beliau menjangka parti akan meminta beliau meletak jawatan, Tan berkata beliau tidak pasti. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan