Malaysia tentang campur tangan asing: Najib

Diterbitkan: Ahad, 21 September 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus berpegang pada prinsip menentang sebarang campur tangan asing dalam urusan dalaman sesebuah negara, tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Katanya, pendirian itu adalah bagi apa-apa juga bentuk campur tangan, lebih-lebih lagi yang berbentuk campur tangan langsung yang boleh menggugat kestabilan dan keamanan negara terlibat.

"Malaysia menyokong penuh semua usaha untuk meningkatkan keamanan dunia dengan berpegang pada prinsip hormat menghormati antara sesebuah negara.

"Kita menentang penglibatan asing dalam urusan domestik sesebuah negara lain," katanya dalam ucaptama pada majlis "Walk for Peace" 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Acara berjalan untuk keamanan dunia secara berpasukan itu dianjurkan sempena Hari Keamanan Dunia hari ini seperti yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Lebih 3,000 peserta mewakili beberapa persatuan veteran pasukan bersenjata dan polis serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan mengambil bahagian dalam acara itu yang menurut Najib akan dijadikan acara tahunan.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abu Seman Yusof.

Menurut Najib, sebagai sebuah negara yang berdaulat, Malaysia sentiasa perihatin terhadap nasib rakyat di negara-negara yang bergolak.

Kerana itu, katanya, Malaysia tidak pernah menolak apabila diminta oleh PBB untuk menghantar pasukan bagi membantu dalam misi-misi damai badan dunia itu walau di mana sahaja.

Malaysia, kata Najib, telah menyertai banyak misi damai PBB termasuk di Somalia, Bosnia Herzegovina, Timor Leste, Acheh dan terbaru di Lebanon.

"Selain itu, kita berbangga kerana anggota tentera dan polis kita yang menyertai mana-mana misi damai PBB telah berjaya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan dan sentiasa diiktiraf sebagai pasukan yang berdedikasi," tambahnya.

Selain di bawah panji PBB, Malaysia juga menyertai misi damai Induk Tim Pemantau Antarabangsa ke Mindanao pada 2004.

Selain menyertai pasukan pengaman dan pemerhati di bawah PBB, katanya, pasukan tentera dan polis Malaysia serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan juga terkenal kerana pantas memberikan bantuan dan khidmat, termasuk khidmat kesihatan di negara-negara yang mana rakyat mereka diancam bahaya, sama oleh pergolakan bersenjata atau bencana alam.

Sempena hari keamanan sedunia, Najib menyeru semua negara di dunia agar menghormati hak rakyat untuk hidup dalam aman dengan meningkatkan tahap toleransi sesama mereka serta mengamalkan pendekatan berbaik-baik dengan negara jiran.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan