Program interaktif sensitif Radio 24, Shabery tunggu laporan

Diterbitkan: Sabtu, 20 September 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEMAMAN: Kementerian Penerangan masih menunggu laporan sebelum mengambil tindakan yang sesuai terhadap stesen radio berita, Radio 24, yang didapati mengendalikan sebuah program interaktif yang membincangkan isu yang tidak menghiraukan sensitiviti negara.

Menterinya Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, pihak pentabiran kementerian sedang menjalankan siasatan berhubung isu berkenaan dan beliau sendiri masih menunggu hasil laporan itu sebelum mengambil tindakan lanjut.

Sambil melahirkan rasa kesal atas kejadian itu, Ahmad Shabery berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya terjadi lebih-lebih lagi melibatkan sebuah stesen radio kendalian agensi yang terletak di bawah kementerian itu.

"Sebagai sebuah stesen radio kerajaan, ia tidak sepatutnya disalah guna oleh sesiapa termasuk untuk menimbulkan perkara-perkara yang negatif kepada masyarakat dan mengeluarkan pandangan yang silap mengenai dasar kerajaan," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas tentang penyiaran sebuah program interaktif oleh stesen Radio 24 yang mengemukakan soalan "Manakah lebih penting, peralihan kuasa Pak lah atau Najib atau turun harga minyak."

Terdahulu, Ahmad Shabery menyampaikan sumbangan hari raya kepada 25 golongan miskin, warga emas dan orang kurang upaya di Dewan Orang Ramai, Rumah Murah Kerteh, Taman Wan Adnan di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata, yang mengendalikan stesen radio itu "mesti profesional dalam menjalankan tugas dan tidak menggunakan jentera kerajaan itu untuk menimbulkan sesuatu isu yang berbentuk sensasi dan polemik."

"Kalau tidak setuju dengan dasar kerajaan jangan jadi kakitangan kerajaan. Berhenti," katanya.

Katanya, mereka yang bekerja di bawah Kementerian Penerangan sepatutnya mengetahui tugas mereka sebagai jentera kerajaan adalah memberi pemahaman kepada rakyat tentang dasar-dasar yang dijalankan oleh kerajaan dan mereka yang berbeza pendapat tidak sepatutnya bekerja di bawah kementerian itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan