Najib sebak, ATM hilang pemimpin dedikasi

Diterbitkan: Jumaat, 19 September 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebak ketika diraikan dalam majlis pepisahan sebagai Menteri Pertahanan di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Najib yang berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan selama 14 tahun kini menjadi Menteri Kewangan selepas bertukar portfolio dengan Perdanan Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal ketika ditemui berkata sepanjang Najib menerajui kementerian tersebut beliau telah banyak melakukan perubahan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Dalam jangka masa 14 tahun beliau bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan ATM malah berusaha meningkatkan kualiti hidup serta memberi peluang kepada pegawai-pegawai dan anggota lain-lain pangkat untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Mengulas mengenai harapan ATM kepada Menteri Pertahanan yang baru beliau berkata sudah pasti ATM mengharapkan sesuatu yang lebih baik.

"Sudah tentu, lagipun Datuk Seri Abdullah bukan orang baru kepada ATM kerana beliau pernah menjadi Menteri Pertahanan.

"Saya pasti beliu akan membawa ATM ke puncak yang tertinggi," katanya.

Dalam majlis tersebut kira-kira 2,000 warga Kementerian Pertahanan yang hadir bagi menyaksikan upacara perpisahan tersebut dilihat sebak apabila Najib bersalaman dengan mereka.

Upacara dimulakan dengan dengan Najib menerima tabik hormat sebelum memeriksa Kawalan Kehormat Utama yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat Batalion 1, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Najib kemudian menaiki kenderaan istiadat dengan ditarik oleh 20 pegawai berpangkat Leftenan Kolonel dan setaraf daripada ketiga-tiga cabang ATM iaitu darat, laut dan udara.

Sementara itu Panglima Tentera Laut, laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar berkata warga ATM dan Kementerian Pertahanan telah kehilangan seorang pemimpin yang berdedikasi dan komited.

"Hari ini kami kehilangan tokoh pemimpin yang disanjungi, dihormati dan disayangi. Saya masih lagi berasa sedih kerana sukar memperolehi pemimpin seperti beliau," katanya dengan nada sebak.

Menurut Abdul Aziz Najib adalah seorang pemimpin yang sangat mementingkan aspek kebajikan kakitangan di bawahnya.

"Beliau sanggup korbankan masa untuk bersama-sama anggota tentera. Kami akan rindukan beliau... saya sendiri akan merindunyinya kerana beliau adalah seorang pemimpin yang bijak, cerdas dan mempunyai visi serta berpandangan jauh," katanya.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Wira Abu Seman Yusop.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan