Musa Aman atau Shafie Apdal? Mahkamah tentukan petang ini - Berita Mahkamah | mStar

Musa Aman atau Shafie Apdal? Mahkamah tentukan petang ini

Diterbitkan: Rabu, 7 November 2018 12:34 PM

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kiri) dan Tan Sri Musa Aman.

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini akan memberikan keputusannya hari ini mengenai siapakah Ketua Menteri Sabah yang sah antara Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Tan Sri Musa Aman.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie dijadual memberikan keputusannya pada pukul 3 petang ini terhadap saman pemula yang dikemukakan oleh Musa bagi mencabar pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri yang baharu kerana mendakwa beliau adalah Ketua Menteri Sabah yang sah.

Pada 24 Oktober, Hakim Yew menangguhkan keputusannya ke 7 November selepas mendengar penghujahan panjang lebar oleh peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad dan S.Vanugopal yang mewakili Musa, Datuk Douglas Lind yang bertindak bagi pihak Mohd Shafie dan Peguam Besar Negeri Datuk Zaleha Rose Pandin yang mewakili Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Musa pada mulanya memfailkan writ saman terhadap Mohd Shafie pada 17 Mei tetapi telah menariknya balik, bagaimanapun pada bulan Jun, beliau memfailkan saman pemula bagi memohon mahkamah, antara lain, mengeluarkan satu perintah bahawa beliau adalah Ketua Menteri Sabah yang sah yang telah dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada 10 Mei.

Saman pemula tidak memerlukan perbicaraan dijalankan di mana para peguam daripada kedua-dua belah pihak akan memfailkan penghujahan dan afidavit bagi penghujahan kes masing-masing, manakala writ saman memerlukan perbicaraan dan saksi-saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

Dalam saman pemula yang difailkannya, Musa menamakan Juhar sebagai defendan pertama dan penggantinya Mohd Shafie sebagai defendan kedua dan memohon satu perintah bahawa pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri pada 12 Mei adalah tidak sah.

Beliau juga memohon satu perintah bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah dan satu perintah bahawa tiada pembatalan atau pemecatan beliau daripada jawatan itu.

Musa juga memohon perintah bahawa defendan pertama (Juhar) telah mencabuli perlembagaan dalam melantik Mohd Shafie sebagai anggota Kabinet Negeri serta memohon satu perintah bahawa segala tindakan dan perkara-perkara yang dilakukan oleh Mohd Shafie dan/atau yang didakwa kabinet beliau selepas beliau mendakwa telah dilantik sebagai Ketua Menteri, adalah tidak sah dan terbatal dan tidak mempunyai kesan selain membawa kerosakan kepada kedua-dua pihak defendan.

Musa telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei selepas memenangi majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-14 tetapi hilang majoriti selepas beberapa anggota Dewan Undangan Negeri dari partinya (Umno) dan dari parti komponen Barisan Nasional (UPKO) melompat parti untuk memberi sokongan kepada Parti Warisan Sabah yang dipimpin oleh Mohd Shafie.

Pada 5 November, Musa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsensi pembalakan di negeri itu yang berjumlah AS$63,293,924 (RM263,460,962.313).

Bagi kesemua pertuduhan itu, Musa, 67, didakwa telah meminta rasuah daripada lapan pemilik syarikat konsensi pembalakan semasa beliau memegang jawatan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah dan kesalahan-kesalahn itu didakwa dilakukannya di lapan institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura antara Disember 2004 dan November 2008.

Hakim Rozina Ayob membenarkan Musa diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin selain diperintah menyerahkan pasport diplomatik dan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kesnya selesai dan menetapkan 13 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga itu.

Musa telah membayar wang jaminan sebanyak RM2 juta itu pada Isnin walaupun Rozina membenarkan beliau membuat pembayaran secara ansuran di mana RM1 juta perlu dibayar pada hari Isnin dan bakinya boleh diselesaikan pada hari Rabu (hari ini).

Peguamnya Amer Hamzah Arshad telah memohon agar wang ikat jamin itu dibayar secara ansuran dengan RM500,000 dibayar pada Isnin dan bakinya diselesaikan menjelang Rabu.

Rozina juga memerintahkan Musa supaya berada di Kuala Lumpur dan melarangnya pulang ke Kota Kinabalu sehingga urusan ikat jaminnya diselesaikan pada Rabu, walapun Amer Hamzah memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya perlu menghadiri satu kes di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Rabu. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Musa Aman , Shafie Apdal , Ketua Menteri
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan