Najib, Irwan Serigar dibenar ikat jamin RM1 juta - Berita Mahkamah | mStar

Najib, Irwan Serigar dibenar ikat jamin RM1 juta

Diterbitkan: Khamis, 25 Oktober 2018 2:40 PM

Najib diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa tiba di Mahkamah Sesyen pagi Khamis.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah yang mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan pecah amanah wang milik kerajaan Malaysia berjumlah RM6,636,065,000, masing-masing dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Azman Ahmad turut membenarkan Najib dan Mohd Irwan Serigar membayar jaminan sebanyak RM500,000 hari ini dan baki selebihnya dibayar dalam masa 10 hari bermula dari tarikh hari ini.

"Kedua-dua tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa dan diplomatik, sekiranya ada kepada mahkamah sehingga kes selesai dan mereka juga dilarang mengganggu saksi pihak pendakwaan sepanjang kes berlangsung," katanya.

Beliau turut menetapkan 29 November untuk sebutan semula kes berkenaan.

Terdahulu, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang dilantik sebagai timbalan pendakwa raya kanan mencadangkan jaminan RM3 juta dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh.

Irwan Serigar turut didakwa atas enam pertuduhan pecah amanah. - fotoBERNAMA

Peguam utama mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon jumlah jaminan RM4.5 juta yang telah dibayar oleh anak guamnya dalam kes sebelum ini diguna pakai dalam kes ini.

Muhammad Shafee berkata anak guamnya sebelum ini dibebaskan dengan jaminan RM4.5 juta bagi 32 pertuduhan yang dihadapinya dan ia merupakan jumlah jaminan tertinggi dalam sejarah Malaysia.

"Saya juga ingin menegaskan satu perkara iaitu perlu membuat penilaian peringkat global bagi merujuk kes lain kerana ini adalah satu daripada kes di mana seseorang menghadapi pertuduhan di beberapa mahkamah dan jaminan ditetapkan di beberapa mahkamah.

“Anak guam saya tidak bercadang meninggalkan negara kerana beliau mahu membersihkan namanya dan nama keluarga beliau.

“Anak guam saya juga terlibat dalam arena politik dan beliau pernah menjadi Menteri Besar Pahang, Timbalan Perdana Menteri, Perdana Menteri dan kini beliau berkhidmat sebagai Anggota Parlimen Pekan," katanya.

Sri Ram, bagaimanapun membantah permohonan Muhammad Shafee untuk membenarkan Najib dibebaskan menggunakan jumlah jaminan sebelum ini, menyatakan kesalahan dihadapinya adalah serius. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Najib Tun Razak , Irwan Serigar
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan