Mahkamah Tinggi kekalkan denda RM70,000 ke atas doktor gigi palsu - Berita Mahkamah | mStar

Mahkamah Tinggi kekalkan denda RM70,000 ke atas doktor gigi palsu

Diterbitkan: Isnin, 22 Oktober 2018 3:35 PM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Mahkamah Tinggi Melaka pada Isnin mengekalkan hukuman denda RM70,000 terhadap bekas pelajar kolej vokasional atas kesalahan menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen, tahun lalu.

Dalam penghakimanya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Nasfy Yasin mengekalkan denda yang diputuskan terhadap Nur Farahanis Ezatty Adli, 21,   setelah mendapati keputusan hakim Mahkamah Sesyen adalah tepat untuk dikekalkan memandangkan kes berkenaan telah tular di laman sosial.

Ahmad Nasfy berkata mahkamah mengekalkan hukuman denda sebagai pengajaran kepada pesalah dan orang ramai agar menghormati keputusan mahkamah, selain mengambil kira masa depan wanita itu yang masih muda dan tidak bekerja.

Beliau berkata mahkamah menolak permohonan pihak pendakwaan agar mengenakan hukuman pemenjaraan terhadap tertuduh kerana Nur Farahanis Ezatty telah mengambil pengajaran terhadap kesilapannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Pada 29 Sept 2017, Mahkamah Sesyen menjatuhi hukuman denda RM70,000 terhadap Nur Farahanis Ezatty selepas mengaku bersalah menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen. - Bernama

Tags / Kata Kunci: doktor gigi palsu
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan