Bekas pelajar tahfiz menang saman RM4.3 juta - Berita Mahkamah | mStar

Bekas pelajar tahfiz menang saman RM4.3 juta

Diterbitkan: Ahad, 23 September 2018 6:50 PM

Muhammad Faiz lumpuh akibat kemalangan yang menyebabkan tujuh rakannya terbunuh.

(Ubah saiz teks)

KOTA BHARU: Seorang bekas pelajar maahad tahfiz yang terbabit dalam kemalangan di Kuala Krai tahun lalu, menang saman RM4,334,507 di mahkamah sesyen di sini, Ahad.

Keputusan dibuat Hakim, Nazri Ismail dengan memerintahkan tiga defendan iaitu pemandu van, Muhammad Hamzi Mohammad Husham, 25, syarikat van berkenaan, CT-One Corporation Sdn Bhd dan maahad yang berpusat di Kuala Krai itu membayar ganti rugi berkenaan terhadap mangsa, Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir, 18, dan ibunya, Jahsuriawany Mustapha, 46.

Kos membabitkan ganti rugi terhadap Muhammad Faiz Hafizuddin yang cedera kepala dan retak saraf tunjang sehingga menyebabkan mangsa lumpuh seumur hidup selain bagi pembelian lampin pakai buang, tiub makanan, beg kencing, katil, tilam dan jururawat persendirian.

Plaintif diwakili peguam R Kameswary dan Mazlinda Mahmud, manakala defendan diwakili Tetuan Tengku Azlina, Azlan Shah & Azman, tetapi peguam defendan tidak hadir pada prosiding itu.

Pada 2 Jun 2017, tujuh daripada 12 pelajar tahfiz termasuk seorang berasal dari Thailand, terbunuh dengan lima daripadanya maut di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Kuala Krai.

Mereka dalam perjalanan untuk menghadiri program Tafsir al-Quran di Madinah Ramadan Kota Bharu di sini, namun van dinaiki terbabas sebelum merempuh sebuah rumah di Kilometer 55, Jalan Kuala Krai - Kota Bharu di Kampung Telekong, Kuala Krai.

Sementara itu, Kameswary berkata, plaintif failkan tuntutan pada April lalu dan proses perbicaraan memakan masa selama dua hari dengan empat saksi dipanggil termasuk pengasas maahad tahfiz berkenaan.

“Van yang dinaiki mangsa tidak mempunyai insurans pelajar dan pada hari kejadian dipandu oleh pemandu yang tidak mempunyai lesen kenderaan.

“Justeru, mahkamah memutuskan ketiga-tiga defendan perlu bertanggungjawab 100 peratus terhadap kecederaan yang dialami mangsa,” katanya. - Sinar Harian

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan