Mahkamah kekalkan kemenangan BN di Tasek Gelugor - Berita Mahkamah | mStar

Mahkamah kekalkan kemenangan BN di Tasek Gelugor

Diterbitkan: Selasa, 18 September 2018 2:48 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Mahkamah Khas Pilihan Raya di sini Selasa mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor selepas menolak petisyen pilihan raya yang difailkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kawasan Parlimen itu.

Hakim Datuk Hashim Hamzah membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya, sekali gus menolak petisyen pilihan raya yang dikemukakan Senator Datuk Marzuki Yahya.

Marzuki yang juga pengerusi Bersatu Pulau Pinang memfailkan petisyen itu dengan menamakan penyandang kerusi Parlimen itu Shabudin sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri bagi Bahagian Pilihan Raya P042 Tasek Gelugor sebagai responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga.

Dalam penghakimannya, Hashim berkata petisyen yang difailkan Marzuki selaku pempetisyen adalah tidak mengikut undang-undang.

"Setelah meneliti fakta, hujah dan dapatan daripada semua pihak, bantahan awal ini adalah berasas dan mahkamah membatalkan petisyen yang telah difailkan oleh pempetisyen," katanya sambil memerintahkan Marzuki membayar kos RM10,000 kepada Shabudin.

Bayaran kos tidak dikenakan kepada responden kedua dan ketiga kerana masing-masing telah menarik balik bantahan awal berkenaan.

Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali manakala Shabudin diwakili peguam Simon Tan.

Shabudin ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau berasa bersyukur dapat mempertahankan kerusi Parlimennya dan berazam untuk meneruskan khidmatnya sebagai anggota Parlimen dengan berkesan serta menunaikan tanggungjawab dan apa yang termampu dijanjikan oleh BN sebelum ini.

Sementara itu, Muhammad Rafique berkata pihaknya akan berbincang dengan anak guamnya sama ada untuk memfailkan rayuan atau tidak.

"Rayuan mesti difailkan dalam masa 14 hari terus ke Mahkamah Persekutuan dan kami rasa kami mempunyai hak bukan sahaja untuk merayu tapi saya sesungguhnya percaya sekiranya Datuk Marzuki ambil pendekatan untuk merayu kita mungkin boleh mengubah cara mahkamah melihat kepada petisyen-petisyen pilihan raya," katanya.

Pada 12 Jun lepas, Marzuki memfailkan petisyen pilihan raya itu untuk memohon agar Pilihan Raya Kecil bagi Parlimen Tasek Gelugor diadakan.

Selain itu, beliau turut memohon pengiraan undi dibuat semula berikutan dalam Perkara Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, calon adalah berhak untuk meminta kiraan semula undi apabila keputusan itu hanya terdapat perbezaan kurang daripada empat peratus.

Pada PRU14, 9 Mei lepas, Marzuki yang bertanding atas tiket PKR tewas kepada Shabudin dengan majoriti hanya 81 undi. Marzuki memperoleh 18,466 undi berbanding Shabudin (18,547) manakala calon PAS, Rizal Hafiz Ruslan memperoleh 14,891 undi. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: BN , Tasek Gelugor , Bersatu
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan