Menyamar pegawai penguatkuasa, pemborong ayam dipenjara ugut mekanik - Berita Mahkamah | mStar

Menyamar pegawai penguatkuasa, pemborong ayam dipenjara ugut mekanik

Diterbitkan: Jumaat, 14 September 2018 4:14 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Padah mengugut lima mekanik warga Bangladesh dengan menyamar sebagai timbalan pengarah penguatkuasa Imigresen serta memiliki pasport milik individu lain, seorang pemborong ayam dipenjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini, Jumaat.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Raja Ahmad Faizal Raja Mohamed, 38, selepas tertuduh mengaku bersalah atas lima pertuduhan mengugut dan satu pertuduhan memiliki pasport milik individu lain.

Mengikut pertuduhan mengugut, tertuduh yang telah berkahwin didakwa menakutkan secara jenayah terhadap kelima-lima mekanik lelaki berusia antara 27 dan 44 tahun itu dengan mengeluarkan perkataan “sekiranya tidak membuat bayaran deposit untuk mendapatkan permit, mangsa-mangsa itu akan ditangkap pada hari yang sama,”.

Dia melakukan semua perbuatan itu di bengkel kereta Airista, Jalan Pandan Utama, Jalan 1, Pandan Indah, di sini pada 3.00 petang, 23 Julai lepas mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Dia juga didakwa atas satu tuduhan tanpa kuasa yang sah memiliki dua pasport milik dua wanita warga Indonesia di Lot 948B, Kg Tanjung, Rawang, di sini pada 8.10 malam, 7 September lepas mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(1) akta sama membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Lelaki itu dijatuhi hukuman penjara lapan bulan bagi setiap pertuduhan mengugut manakala penjara 10 bulan bagi pertuduhan memiliki pasport individu lain dan mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani semua hukuman itu secara serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 7 September lepas.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dijatuhi hukuman ringan kerana dia perlu menyara keluarga termasuk lima anak yang masih kecil.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon hukuman berat dikenakan mengambil kira tertuduh melakukan kesalahan serius kerana telah menakutkan individu lain, memberi imej buruk kepada penjawat awam dan cuba mendapatkan keuntungan kepada diri sendiri dengan meminta wang dari mangsa.

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh dan seorang wanita telah pergi ke bengkel itu dengan memakai vest berlogo Imigresen dan memperkenalkan diri sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasa Imigresen dari Putrajaya serta memberitahu bahawa mereka sedang melakukan rondaan untuk memeriksa pasport pekerja warga asing.

Tertuduh kemudian telah meminta wang daripada kesemua mangsa untuk tujuan pembaharuan permit kerja dan menakutkan mangsa-mangsa berkenaan.

Di mahkamah sama, lelaki itu dan teman wanitanya, Fazlina Ibrahim, 25, seorang kerani sambilan mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan niat bersama telah menyamar sebagai penjawat awam jawatan “pegawai imigresen” di bengkel kereta  sama, pada waktu dan tarikh serupa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Okt untuk sebutan semula kes.—-Bernama 


Tags / Kata Kunci: mekanik , Imigresen , Raja Ahmad Faizal
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan