Warga AS bunuh bekas isteri dihukum gantung - Berita Mahkamah | mStar

Warga AS bunuh bekas isteri dihukum gantung

Diterbitkan: Selasa, 4 September 2018 3:59 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang bekas perunding kejuruteraan di sebuah syarikat telekomunikasi dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh bekas isterinya, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Mickleson Gerald Wayne, 63, warganegara Amerika Syarikat (AS) selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Tertuduh yang diwakili peguam K.A Ramu didakwa membunuh Guilda Mickelson, 62, juga warga Amerika dalam bilik sebuah hotel di Lingkaran Syed Putra, Brickfields, di sini antara 5 pagi hingga 11.45 pagi, 26 November 2016 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Hakim Azman dalam penghakimannya, berkata tertuduh ketika pembelaannya mengatakan dia cuba mempertahankan dirinya daripada diserang si mati, namun keterangannya itu gagal menimbulkan keraguan munasabah.

“Pakar patologi telah memberi keterangan bahawa si mati mengalami kecederaan pada bahagian leher dan beberapa kecederaan di kepala, berdasar keterangan (patalogi), si mati maut akibat dicekik sehingga mengalami kecederaan di struktur leher.

“Selepas mengambil kira kesemua bukti yang telah dikemukakan, saya dengan ini mendapati kamu bersalah sebagaimana pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan saya, menjatuhkan kamu, hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Mickleson yang memakai baju T berkolar berwarna ungu kelihatan tenang selepas mahkamah menjatuhkan hukuman itu dan dia juga dilihat memeluk dan mencium seorang wanita.

Timbalan Pendakwa Raya Azeezi Nordin ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu semasa perbicaraan saksi dalam keterangan memberitahu bahawa pada 26 November itu, pihak hotel menerima panggilan telefon dari tertuduh yang meminta menghubungi polis kerana ada masalah telah berlaku di biliknya.

Pengurus hotel kemudian telah pergi ke bilik tertuduh dan mendapati terdapat seorang wanita yang dipercayai telah meninggal dunia berada di atas katil di dalam bilik tersebut dan tertuduh memberitahu, “my wife is dead, I kill her (isteri saya sudah mati, saya yang membunuhnya)."

Katanya tertuduh telah berkahwin dengan si mati selama 30 tahun namun telah bercerai tetapi masih tinggal bersama dan pergaduhan itu berlaku selepas tertuduh memberitahu si mati bahawa dia mahu berpindah ke Filipina untuk bekerja dan si mati tidak mengizinkan.

Seramai sembilan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh dipanggil membela diri pada perbicaraan bermula Februari tahun ini. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: bunuh , gantung
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan