Bicara kes Najib 33 hari bermula Februari tahun depan - Berita Mahkamah | mStar

Bicara kes Najib 33 hari bermula Februari tahun depan

Diterbitkan: Jumaat, 10 Ogos 2018 9:25 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Jumaat menetapkan 33 hari bermula 12 Februari tahun depan untuk perbicaraan kes  bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi tujuh pertuduhan membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 12 hingga 28 Februari dan 4 hingga 29 Mac untuk perbicaraan selepas selesai memberi keputusan berhubung permohonan Najib bagi mendapatkan perintah larangan terhadap media daripada menerbitkan perbincangan berkaitan merit dan pertuduhan yang dihadapinya.

Menurut Bernama, mahkamah juga menetapkan 4 Oktober ini untuk pengurusan kes.

Terdahulu, Ketua Unit Bicara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memberitahu mahkamah bahawa pihaknya bersedia untuk memulakan perbicaraan pada November ini.

“Ini sejajar dengan Seksyen 172B(4) Kanun Tatacara Jenayah yang memperuntukkan perbicaraan kes jenayah perlu dijalankan dalam tempoh 90 hari selepas tertuduh didakwa,” katanya.

Mohamad Hanafiah turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan mengemukakan 50 saksi.

Muhammad Shafee.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membantah perbicaraan ditetapkan pada November tahun ini.

“Kami perlukan masa untuk mengkaji semua dokumen dan saya akan terima sebarang tarikh jika perbicaraan ditetapkan pada Februari dan Mac. Saya tidak tahu kenapa mereka (pendakwaan) berada dalam keadaan terdesak,” katanya.  

Beliau juga berkata Seksyen 172B(4) itu yang memperuntukkan perbicaraan harus berlangsung  dalam tempoh 90 hari selepas tertuduh didakwa bukan mandatori tetapi hanya panduan.

“Dalam kes Lim Guan Eng, beliau didakwa pada Jun 2016 dan perbicaraan bermula hampir dua tahun kemudian pada 2018. 

Kes liwat pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah pada 1998 dan perbicaraan bermula pada 1999 manakala dalam kes liwat keduanya beliau dituduh pada Ogos 2008 dan perbicaraan  bermula  pada Februari 2010,” kata Muhammad Shafee yang beberapa kali meminta mahkamah  menetapkan  tarikh  perbicaraan  pada Februari dan Mac tahun depan yang diputuskan secara tentatif pada prosiding sebelum ini.

Katanya beliau juga sudah mengosongkan jadualnya bagi Februari dan Mac untuk menghadapi perbicaraan itu dan sekali lagi mendesak agar mahkamah mengekalkan tarikh yang ditetapkan sebelum ini.

Muhammad Shafee berkata beliau juga perlukan masa untuk meneliti dokumen yang serahkan oleh pihak pendakwaan menerusi cakera padat pada Rabu dan pejabatnya mengambil masa hampir tiga hari untuk mencetak dokumen tersebut yang berjumlah 3,500 muka surat.

Tags / Kata Kunci: Najib Razak
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan