Permohonan Rosmah batal saman syarikat barang kemas Lubnan didengar 11 Oktober - Berita Mahkamah | mStar

Permohonan Rosmah batal saman syarikat barang kemas Lubnan didengar 11 Oktober

Diterbitkan: Jumaat, 27 Julai 2018 3:53 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Jumaat menetapkan 11 Oktober untuk mendengar permohonan Datin Seri Rosmah Mansor bagi membatalkan saman sebuah syarikat pemborong barang kemas di Lubnan yang menuntut isteri bekas perdana menteri itu memulangkan kembali 44 barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar barang kemas berkenaan berjumlah US$14.79 juta (RM59.831 juta).

Peguam Datuk Geethan Ram, yang mewakili Rosmah ketika ditemui pemberita berkata kes itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin dan pada tarikh sama, mahkamah juga akan mendengar permohonan kerajaan untuk menjadi pencelah dalam kes saman difailkan Global Royalty Trading SAL.

Beliau berkata demikian selepas pengurusan kes saman itu di dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Siti Faraziana Zainuddin hari ini.

Seorang lagi peguam Rosmah, N. Rajivan berkata permohonan untuk membatalkan saman itu difailkan atas alasan ia melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUA).

Rajivan berkata sepatutnya plaintif (Global Royalty) perlu mendapatkan keizinan bertulis daripada Jabatan Peguam Negara sebelum memfailkan saman sivil kerana kes saman itu berkaitan AMLATFAPUA.

Peguam itu berkata tuntutan indemnity (tanggung rugi) oleh plaintif adalah pra matang kerana barang kemas terbabit hanya dirampas dan belum ada kerugian di pihak plaintif.

"Anak guam kami juga secara salah dinamakan sebagai defendan kerana barang itu sekarang di bawah jagaan pihak berkuasa dan bukan di bawah jagaannya dan kami juga akan mengkaji dokumen berkaitan berhubung permohonan kerajaan Malaysia untuk menjadi pencelah dalam kes ini," katanya.

Peguam David Gurupatham, yang mewakili Global Royalty pula berkata pihaknya tidak akan membantah permohonan kerajaan untuk menjadi pencelah dan dinamakan sebagai pihak dalam kes saman berkenaan.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching berkata Kerajaan Malaysia memohon untuk menjadi pencelah dalam kes saman itu berikutan syarikat berkenaan mendakwa bahawa barang kemas miliknya dirampas polis.

Loke berkata kerajaan turut menegaskan bahawa jika dibuktikan barang kemas terbabit dirampas berkaitan dengan siasatan bagi perbuatan salah laku jenayah, ia hendaklah dirampas dan menjadi milik kerajaan.

Pada 26 Jun lepas, Global Royalty, yang berpangkalan di Beirut selaku plaintif memfailkan saman terhadap Rosmah selepas mendakwa pada 10 Februari lepas, syarikat itu telah menyerahkan 44 unit barang kemas, termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara US$124,000 dan US$925,000 kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejen syarikat itu.

Dalam pernyataan tuntutan, Global Royalty, pemborong barang kemas antarabangsa mendakwa menjadi kebiasaan pada tahun-tahun sebelumnya, syarikat itu akan menghantar barang kemas kepada Rosmah, yang merupakan pelanggan tetap syarikat itu mengikut permintaannya untuk dipilih serta dinilai dan defendan akan membeli barang kemas yang telah dipilih melalui pembayaran sama ada daripada defendan sendiri atau oleh pihak ketiga.

Syarikat itu, yang membekalkan barang kemas kepada kerabat diraja serta pelanggan kaya dari seluruh dunia mendakwa barang kemas yang tidak dipilih akan dipulangkan dan ada kalanya dalam keadaan tertentu Rosmah juga akan meminjam beberapa barang kemas itu dan memulangkannya kepada plaintif.

Global Royalty juga mendakwa Rosmah melalui surat bertarikh 22 Mei lepas mengesahkan dan mengakui penerimaan barang kemas itu dan defendan secara bertulis pada tarikh sama turut mengesahkan kesemua barang kemas itu tidak lagi berada dalam milikannya tetapi disita dan kini berada dalam jagaan pihak berkuasa Malaysia.

Dalam tuntutan itu, Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa mereka adalah pemilik sah 44 unit barang kemas itu selain memohon perintah bahawa hak milik barang kemas itu tidak berpindah kepada defendan.

Syarikat itu juga memohon perintah mandatori supaya Rosmah memberikan senarai sitaan barang kemas berkenaan dan memohon perintah supaya barang kemas dikembalikan atau sekiranya barang-barang itu tidak dapat dipulangkan, Rosmah bertanggungjawab untuk membayar barang kemas itu berjumlah US$14.79 juta (RM59.831 juta).

Rosmah dalam penyataan pembelaan difailkan pada 23 Julai lepas, menafikan beliau membeli mana-mana daripada 44 barang kemas yang didakwa dihantar kepada beliau untuk dipilih dan hak milik sah barang kemas itu tidak pernah berpindah kepadanya.

Malah beliau mendakwa barang kemas yang dinyatakan itu dihantar kepadanya untuk dipilih atas sifat beliau sebagai isteri perdana menteri Malaysia, merupakan kehendak dan kerelaan syarikat itu sendiri dan tanpa sebarang kewajipan bagi defendan untuk membelinya.
- BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan