Gagal capai penyelesaian, NFCORP teruskan prosiding komital terhadap Rafizi - Berita Mahkamah | mStar

Gagal capai penyelesaian, NFCORP teruskan prosiding komital terhadap Rafizi

Diterbitkan: Rabu, 13 Jun 2018 1:24 PM

Rafizi Ramli.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan pengerusi eksekutifnya akan meneruskan prosiding komital (menghina mahkamah) terhadap Mohd Rafizi Ramli selepas Naib Presiden PKR itu tidak bersetuju untuk mengeluarkan artikel berhubung NFC daripada blog dan akaun Facebooknya.

Peguam Noor Farhah Mustaffa, yang mewakili NFCorp dan Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad pada Rabu yang turut dihadiri peguam, Ng Siau San mewakili Mohd Rafizi.

Noor Farhah berkata, kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan untuk menyelesaikan secara baik prosiding komital itu selepas Ng memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya tidak bersetuju dengan beberapa syarat yang dikemukakan Mohamad Salleh termasuk mengeluarkan artikel berhubung NFC daripada blog dan Facebooknya.

"Jika Mohd Rafizi bersetuju dengan syarat berkenaan, anak guam saya bersetuju untuk menarik balik permohonan komital terhadapnya," katanya.

Peguam itu berkata, mahkamah menetapkan 24 Ogos untuk mendengar permohonan anak guamnya bagi memulakan prosiding komital terhadap Mohd Rafizi.

Pada 23 Mei 2017, Mohamad Salleh dan NFCorp memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Mohd Rafizi selepas bekas Anggota Parlimen Pandan itu sekali lagi menerbitkan artikel berhubung NFC walaupun terdapat perintah mahkamah yang menghalangnya berbuat demikian.

Mohd Rafizi turut memohon untuk mengetepikan prosiding menghina mahkamah yang diperoleh Mohamad Salleh dalam kes saman difailkan Mohamad Salleh dan NFCorp terhadap Mohd Rafizi berhubung pembelian hartanah di KL Eco City, Bangsar.  

Pada 31 Oktober 2016, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan saman yang difailkan Mohamad Salleh dan NFCorp selepas mendapati Mohd Rafizi memfitnah mereka berhubung pembelian hartanah di KL Eco City, dan memerintahkan Mohd Rafizi membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada kedua-dua plaintif.

Bagaimanapun, mahkamah menolak saman Mohamad Salleh dan NFCorp terhadap Malaysiakini, yang dinamakan sebagai defendan kedua, dan memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM50,000 kepada portal berita berkenaan. - Bernama

Tags / Kata Kunci: NFCorp , Rafizi Ramli
   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan