Ahli perniagaan didakwa tipu tuntutan insurans hampir RM1.2 juta - Berita Mahkamah | mStar

Ahli perniagaan didakwa tipu tuntutan insurans hampir RM1.2 juta

Diterbitkan: Khamis, 26 April 2018 4:17 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menipu penolong naib presiden  sebuah syarikat insurans untuk meluluskan tuntutan penyakit strok yang dialaminya bernilai hampir RM1.2 juta, dua tahun lalu.

R. Poobalan, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin selepas pertuduhannya dibacakan terhadapnya.

Dia didakwa menipu Chin Jia Gi, 37, dengan memperdayakan mangsa bahawa tertuduh mengalami penyakit strok dengan memberikan borang tuntutan perlindungan penyakit kritikal sehingga mendorongnya untuk meluluskan tuntutan bernilai RM1,013,667.69 yang mana tertuduh mengetahui perkara itu tidak benar.

Bapa tiga anak itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di Great Eastern, Jalan Ampang di sini pada 19 Mei 2016 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya S.Malini Anne tidak menawarkan wang jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin manakala tertuduh yang diwakili peguam Tan Kim Kiek memohon dibenarkan jaminan RM100,000 dan tertuduh juga mempunyai kes sama di Mahkamah Seremban dan Petaling Jaya.

"Tertuduh juga perlu menjalani rawatan minor strok di hospital," kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan Poobalan diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi sehingga kes selesai dan  menetapkan 18 Mei untuk sebutan kes. - Bernama

Tags / Kata Kunci: insurans
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan