Jurulatih pasukan terjun bebas tuduhan rogol atlet - Berita Mahkamah | mStar

Jurulatih pasukan terjun bebas tuduhan rogol atlet

Diterbitkan: Isnin, 9 April 2018 6:07 PM

Jurulatih pasukan terjun kebangsaan, Huang Qiang, ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Oktober lalu atas pertuduhan merogol seorang atlet terjun kebangsaan wanita berusia 20 tahun di Kompleks Akuatik Sukan Negara, Bukit Jalil.


(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang jurulatih pasukan terjun kebangsaan dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen pada Isnin atas pertuduhan merogol atlet terjun kebangsaan wanita di Kompleks Akuatik Sukan Negara, Bukit Jalil pada September tahun lepas.

Hakim Noradura Hamzah melepaskan Huang Qiang, 36, yang berasal dari China, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan merogol selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap lelaki itu pada akhir kes pendakwaan.

"Mahkamah mendapati bahawa terlalu banyak keterangan mangsa yang bersifat andaian semata-mata dan apabila dibandingkan dengan keterangan saksi lain iaitu sepupu mangsa dan pegawai penyiasat dalam kes ini wujudnya pencanggahan yang material.

"Kegagalan pihak pendakwaan memanggil saksi-saksi material lain dan saksi bebas iaitu pekerja yang melihat tertuduh dan mangsa ketika kejadian menunjukkan wujudnya lompongan terhadap kes pendakwaan," katanya.

Beliau juga berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pelakuan tertuduh yang didakwa memasukkan zakarnya ke dalam kemaluan mangsa yang dilakukan tanpa kerelaan mangsa.

"Tiada keterangan mangsa yang menjelaskan tentang isu kerelaan sebagai mana yang dijelaskan pada perbicaraan.

"Berkaitan isu mangsa tidak melawan tertuduh kerana takut adalah tidak dapat diterima kerana mangsa sendiri mempunyai susuk badan tegap dan cergas yang mampu melawan untuk mengelakkan kejadian itu berlaku," katanya.

Tertuduh didakwa merogol mangsa, yang berusia 20 tahun ketika kejadian, di dalam Gimnasium Terjun, Kompleks Akuatik Sukan Negara, Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini pada 5.30 petang, 26 September 2017.

Lelaki itu, yang telah mendapat taraf warganegara Malaysia, didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizza Sauni manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hisham Md Nen.

Sebanyak 15 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula 19 Jan lepas.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Huang yang menutup muka menggunakan topeng hidung dan mulut, berkata dalam bahasa Mandarin bahawa mahkamah telah berlaku adil kepada dirinya.

Dia kemudian bergegas meninggalkan bangunan mahkamah. -Bernama


Tags / Kata Kunci: Huang Qiang , rogol , atlet terjun
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan