Empat Lelaki Korea Utara Pembunuh Jong-nam - Berita Mahkamah | mStar

Empat Lelaki Korea Utara Pembunuh Jong-nam

Diterbitkan: Khamis, 22 Mac 2018 8:23 PM

Kim Jong-nam.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang pegawai penyiasat polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau mengklasifikasikan empat lelaki rakyat Korea Utara yang masih bebas sebagai pembunuh dalam kes pembunuhan Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA Asisten Supritendan Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz berkata beliau mengklasifikasikan mereka sebagai pembunuh kerana keempat-empat lelaki itu terlibat dalam kes berprofil tinggi tersebut.

Beliau berkata mereka ialah Hong Song Hac, 35, (Mr Chang), O Jong Gil, 56 (James), Ri Ji Hyon, 34, (Mr Y) dan Ri Jae Nam, 59, (Hanamori).

Saksi kesembilan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Naran Singh, yang mewakili warganegara Vietnam, Doan Thi Huong, 29, pada hari ke-36 kes perbicaraan tertuduh dan rakyat Indonesia, Siti Aisyah, 26, yang didakwa bersama-sama empat lelaki yang masih bebas, membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb 2017.

Terdahulu, Wan Azirul Nizam ditanya oleh Naran Singh bagaimana beliau menggelarkan keempat-empat lelaki Korea Utara itu.

Thi Huong. - AP

Naran Singh: Kamu menggelarkan empat orang ini sebagai penjenayah, pembunuh atau pengkhianat?

Wan Azirul Nizam: Saya menggelarkan mereka suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian ini.

Naran: Pendek kata, kamu kata mereka ini sebagai pembunuh?

Wan Azirul Nizam: Setuju.

Bagaimanapun, Wan Azirul Nizam tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa siasatannya tidak lengkap tanpa rakaman percakapan keempat-empat lelaki itu.

Beliau berkata rakaman percakapan mereka tidak dapat dilakukan bagi mengetahui peranan masing-masing dan kedua-dua tertuduh wanita berkenaan dalam kes itu.

Mengenai tindakan lanjut yang diambil olehnya, saksi itu berkata beliau mengemukakan permohonan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menangkap kesemua suspek setelah tidak mendapat kerjasama daripada pihak Kedutaan Korea Utara.

Siti Aisyah. - AP

Sementara itu, ketika disoal peguam Salim Basheer yang turut mewakili Doan, Wan Azirul Nizam berkata beliau telah membuat siasatan terhadap percakapan Doan bagi memastikan percakapannya benar.

"Saya ada membuat perbandingan terhadap percakapan Doan dengan percakapan saksi-saksi lain di dalam kes ini selain membuat pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian yang dikatakan tertuduh ada melakukan 'latihan' untuk membuat serangan itu," katanya.

Mengenai rakyat Korea Utara, Ri Jong-chol, yang ditahan reman 14 hari bagi membantu siasatan kes berkenaan, Wan Azirul Nizam yang mengklasifikasi lelaki itu sebagai suspek, bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa dia sepatutnya dituduh di mahkamah.

Salim: Setujukah bahawa sebelum Ri dihantar pulang, kamu boleh mengambil keterangan dia sebagai saksi mahkamah?

Wan Azirul Nizam: Setuju Ri adalah pemilik kenderaan Naza Ria yang digunakan untuk membawa dua suspek Korea Utara itu dari klia2 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas Kim Chol diserang.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung pada 2 April ini. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Kim Jong-nam , Kim Chol
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan