KTMB Didenda RM60,000 Gagal Selenggara Landasan, Gerabak - Berita Mahkamah | mStar

KTMB Didenda RM60,000 Gagal Selenggara Landasan, Gerabak

Diterbitkan: Khamis, 22 Mac 2018 3:14 PM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Pengendali kereta api, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjadi operator pertama di negara ini yang didenda sebanyak RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana gagal memastikan penyelenggaraan landasan dan gerabak dengan betul.

Seorang wakil pengendali kereta api tersebut mengaku bersalah setelah tuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datin M. Kunasundary pada Khamis.

Berdasarkan fakta kes, KTMB gagal memastikan kedua-dua gerabak yang digunakan oleh kereta api Express Senandung Wau serta landasan antara Stesen Kemayan dan Triang berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.

Oleh itu, ia gagal mematuhi Seksyen 8.1 Lesen Pengendali Keretapi KTMB, sehingga menyebabkan kegagalan kereta api berlaku.

Kesalahan itu dilakukan di laluan Kemayan-Triang di Temerloh antara KM78 dan KM79.75 sekitar pukul 1.50 pagi 8 Julai 2014.

Kes didakwa di bawah Seksyen 101 (7) (e) Akta Suruhanjaya Pengangkutan Darat.

Pada 11 Julai 2014, perkhidmatan KTMB East Coast Intercity telah terganggu selepas tren Ekspres Wau tergelincir berhampiran Stesen Kemayan di Pahang pada pukul 1.50 pagi pada 8 Julai 2014.

Dalam kejadian itu, salah satu daripada lapan gerabak keretapi itu tergelincir, namun tidak ada mangsa yang dilaporkan mengalami kecederaan.

Tags / Kata Kunci: KTMB
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan