Khalwat: Pasangan Pegawai SPRM Mohon Dibicara Secara Tertutup - Berita Mahkamah | mStar

Khalwat: Pasangan Pegawai SPRM Mohon Dibicara Secara Tertutup

Diterbitkan: Khamis, 8 Mac 2018 4:45 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan kerana kesalahan berkhalwat memohon dibicarakan secara tertutup pada prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini, Khamis.

Permohonan supaya kes itu dibicarakan dalam kamar  dikemukakan peguam bela tertuduh, Fadhlina Sidek dihadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof.

Menurut Fadhlina, permohonan itu dikemukakan kerana kes berkenaan turut melibatkan hal-hal sulit berkaitan negara yang perlu dilindungi memandangkan tertuduh adalah penjawat awam yang berkhidmat di SPRM.

Sebelum itu, tertuduh masing-masing Fikri Ab Rahim, 43, bersama Nur Liza Musa, 35, tiba di mahkamah kira-kira pukul 10.30 pagi.

Sementara itu, pegawai pendakwa, Fairus Jaafar memaklumkan, mereka menghadapi tuduhan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29 (1) a & b Enakmen Jenayah Syariah Selangor yang membabitkan dakwaan khalwat.

Tertuduh didakwa berada bersama pasangan yang bukan mahram di sebuah kondominium di Seri Kembangan, Selangor pada 9 Disember tahun lalu.

Hakim Shukran kemudian meminta tertuduh untuk memfailkan semula permohonan lengkap dan menetapkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 3 Mei ini untuk sebutan semula kes berkenaan dan memutuskan sama ada ia boleh dibicarakan secara tertutup atau tidak.

Kedua-dua tertuduh dilihat meninggalkan pekarangan mahkamah dalam dua kereta berasingan kira-kira pukul 2.05 petang.

Pada 9 Disember lalu, dua pegawai SPRM ditahan pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sebuah unit kondominium di Taman Equine, Seri Kembangan, Selangor selepas menerima aduan orang awam.

Difahamkan, kedua-dua pegawai SPRM itu ditahan kerana berdua-duaan dalam premis terbabit dalam keadaan mencurigakan.

Malahan, Jais ketika dihubungi mStar Online mengesahkan satu tangkapan dibuat dalam operasi penguatkuasaannya yang melibatkan empat pegawai penguatkuasaan Jais di Seri Kembangan pada kira-kira pukul 3 pagi, 9 Disember lalu.

Tags / Kata Kunci: SPRM , Fikri , Shukran
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan