Bapa Didakwa Bunuh Nur Aina Nabihah - Berita Mahkamah | mStar

Bapa Didakwa Bunuh Nur Aina Nabihah

Diterbitkan: Isnin, 12 Februari 2018 11:51 AM

(Ubah saiz teks)

PORT DICKSON: Seorang  anggota tentera dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan membunuh anak perempuannya, Nur Aina Nabihah, pada hujung bulan lepas.

Mohammad Abdullah Mohamed, 35, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Khariah Abdul Razak.

Tiada pengakuan direkodkan.

Dia didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap kanak-kanak berusia sembilan tahun itu di Taman Vista Jaya, Lukut, dekat sini, antara 8.30 malam hingga 11.30 malam, 31 Januari lalu.

Tertuduh yang berpakaian lokap warna jingga didakwa menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya A. Ashwini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Siti Khariah menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan semula kes.  Media sebelum ini melaporkan Nur Aina Nabihah meninggal dunia pada 31 Jan lalu, dipercayai akibat didera bapa kandung dan ibu tirinya.

Keputusan bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan pada buah pinggang  selain usus terkoyak serta patah tulang rusuk.

Mohammad Abdullah dan isteri sebelum ini direman sejak 2 Februari lepas namun isterinya yang juga ibu tiri mangsa dibebaskan dengan jaminan mahkamah di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah  dan akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan.

Sementara itu  dalam satu lagi prosiding, Siti Khariah menetapkan14 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes bunuh  seorang juruteknologi pergigian.

Abdul Malik Rosli, 19, didakwa membunuh Mahussin Abdul Rahim, 28,  di Kuarters Klinik Kesihatan Lukut pada 1.40 pagi, 19 Januari lalu.

Tertuduh  yang tidak diwakili peguam, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan.

Pada 22 Januari lalu, media melaporkan Mahussin ditemukan mati dipercayai dibunuh di dalam sebuah bilik di tingkat empat kuarters itu.— - Bernama


Tags / Kata Kunci: Ania Nabihah , Lukut
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan