Pengarah Syarikat Didakwa Terima Deposit Lebih RM16 Juta, Menyamar 'Datuk' - Berita Mahkamah | mStar

Pengarah Syarikat Didakwa Terima Deposit Lebih RM16 Juta, Menyamar 'Datuk'

Diterbitkan: Isnin, 5 Februari 2018 4:30 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menerima deposit lebih RM16 juta tanpa lesen sah dan menipu dengan menyamar sebagai Datuk, empat tahun lalu.

Kok Chee Boon, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Mabel S. Muttiah.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa telah menerima deposit daripada orang awam berjumlah RM16,209,600 tanpa suatu lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga  RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa telah menipu Lee King Loong, 30, dengan cara menyamar sebagai “Dato' Dave Kok Chee Boon”  sedangkan gelaran Datuk itu belum dikurniakan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara April 2014 dan November  2015 di No 12A, Jalan PJU 3/45, Sunway Damansara Technology Park dan UOB Bank, Kota Damansara serta Hong Leong Bank Perdana The Place, Damansara Perdana, di sini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Unit Jenayah Komersial dan Siber, Hafizatul Ifa Ab Razak tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

"Namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, saya mohon syarat-syarat tambahan seperti penyerahan pasport ke mahkamah dan melaporkan diri ke Balai Polis Kota Damansara sehingga kes selesai," katanya.

Tertuduh yang diwakili peguam S. Subramaniam memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin atas alasan dia menanggung kedua ibu bapa yang sudah tua serta adik perempuan yang berusia 25 tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM55,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan menyerahkan pasport ke mahkamah dan melaporkan diri ke Balai Polis Kota Damansara sehingga kes selesai serta menetapkan 12 Mac  untuk sebutan semula kes.  -- Bernama

Tags / Kata Kunci: Kok Chee Boon , Dato Dave
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan