"Saya JSJ, Ditahan Oleh JSJ" - Berita Mahkamah | mStar

"Saya JSJ, Ditahan Oleh JSJ"

Diterbitkan: Selasa, 30 Januari 2018 8:43 AM

Tenang dan tenang: Soon Aun menunjukkan tanda 'peace' ke arah jurugambar di mahkamah majistret di Ipoh.

(Ubah saiz teks)

IPOH: Seorang peniaga yang mengaku bersalah di mahkamah majistret di sini atas kesalahan memiliki sepucuk pistol palsu memberitahu media bahawa dia merupakan pegawai di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Lew Soon Aun, 47, turut sempat menunjukkan simbol 'peace' apabila gambarnya dirakam oleh jurugambar ketika berjalan menuju ke mahkamah pada Isnin.

"Awak wartawan, tulis baik-baik. Saya seorang pegawai JSJ yang ditahan oleh pegawai JSJ," katanya kepada pemberita selepas meninggalkan mahkamah.

Sewaktu ditahan pada 23 Januari lalu, Soon Aun mendakwa dia merupakan pegawai polis Singapura.

Suspek didakwa melakukan tiga kesalahan kira-kira pukul 7.30 pagi di Taman Rima Garmelan dekat sini.

Soon Aun didakwa di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata atau peluru tanpa permit; dan di bawah Seksyen 36 akta yang sama kerana memiliki pistol palsu; dan di bawah Seksyen 25(1)(a) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana tidak dapat mengemukakan kad pengenalannya.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap kedua-dua tuduhan di bawah Akta Senjata, namun meminta untuk dibicarakan bagi kesalahan ketiga dengan memberitahu mahkamah bahawa dia telah menunjukkan kad pengenalan polis Singapura.

Bagi tuduhan pertama di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, dia berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi tuduhan kedua di bawah Seksyen 36 akta sama, dia boleh dipenjarakan tidak lebih dari setahun, dendah sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Sekiranya suspek didapati bersalah di bawah Peraturan Pendaftaran Negara, dia boleh dihukum selama tiga tahun penjara, didenda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan pendakwaraya Erna Julieza Maaras memohon agar mahkamah tidak menawarkan jaminan.

Peguam Soon Aun, E. P. Seeralasittan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon jaminan kerana anak guamnya mengalami hipertensi.

Majistret Siti Salwa Ja'afar menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kesemua tiga tuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Tags / Kata Kunci: jabatan siasatan jenayah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan