Kes Cikgu Idzahril Disebut Semula Bulan Depan - Berita Mahkamah | mStar

Kes Cikgu Idzahril Disebut Semula Bulan Depan

Diterbitkan: Selasa, 9 Januari 2018 1:30 PM

Noor Idzahril Ahmad, 52, (dua, kanan) yang didakwa mencederakan muridnya Ogos tahun lalu, ketika hadir untuk sebutan kes di Mahkamah Majistret Jawi hari ini. - Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

JAWI: Mahkamah Majistret di sini menetapkan 19 Februari untuk sebutan semula kes seorang guru yang didakwa mencederakan muridnya Ogos tahun lalu.

Majistret Hizween Azleena Othman Kamal menetapkan tarikh itu semasa sebutan semula kes Noor Idzahril Ahmad, 52, selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Uzair Abd Munir memohon tarikh baharu untuk penyerahan laporan perubatan murid lelaki Tahun 3 itu.

Pada 11 Disember lepas, Noor Idzahril mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas mangsa yang ketika itu berusia sembilan tahun di Kelas 3 Bestari Sekolah Kebangsaan Seri Sentosa, Nibong Tebal di sini pada 10 pagi, 2 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding hari ini dijalankan secara tertutup.

Peguam tertuduh, Mohd Fadhly Yaacob, ketika ditemui di perkarangan mahkamah berkata dalam prosiding hari ini pihaknya memohon supaya kes itu dibuang berikutan sehingga kini pihak pendakwaan gagal mengemukakan laporan perubatan murid terbabit.

Beliau berkata pihak pembelaan berpendapat pertuduhan itu masih di peringkat pramatang dan masih terlalu awal untuk anak guamnya dihadapkan ke mahkamah.

"Laporan perubatan untuk kes ini masih lagi tidak dibekalkan walaupun hari ini sudah masuk kali ketiga sebutan semula kes. Asas kepada permohonan kami adalah kes yang melibatkan Seksyen 323 Kanun Keseksaan elemen kecederaan itu perlu ada daripada awal,” katanya.

Beliau berkata sekiranya pihak pendakwaan masih gagal untuk mengemukakan laporan perubatan pada tarikh sebutan semula yang akan datang, pihak pembelaan akan memohon mahkamah supaya melepaskan tanpa membebaskan guru Bahasa Inggeris itu.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda yang turut hadir pada prosiding hari ini berkata pihaknya akan sentiasa bersama dengan Cikgu Noor Idzahril bagi memastikan perjuangan guru dalam mendidik murid diteruskan walau dalam keadaan apa sekalipun.

"Ini adalah satu cabaran kecil yang terpaksa diharungi oleh para guru kita. Saya melihat para guru penuh bersemangat dan bersama-sama walaupun cabaran ini adalah satu yang mungkin tidak kita tunggu-tunggukan. "Cabaran ini mungkin lebih memberikan persediaan kepada golongan guru menghadapi cabaran dalam era pendidikan moden untuk abad ke-21," katanya.

Terdahulu, lebih 100 penyokong Noor Idzahril berkumpul di perkarangan mahkamah sebagai tanda solidariti kepada guru itu. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Cikgu Idzahril , Jawi
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan