Tiga Sekeluarga Didakwa Rasuah Cecah RM11.7 Juta - Berita Mahkamah | mStar

Tiga Sekeluarga Didakwa Rasuah Cecah RM11.7 Juta

Diterbitkan: Khamis, 4 Januari 2018 5:28 PM

Pengarah Syarikat Noorashikin Azmi, 38, (dua, kiri) dan kakak iparnya Huziana Othman, 49, (dua, kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen kerana terbabit dalam aktiviti rasuah serta pengubahan wang haram dengan nilai keseluruhan sebanyak RM11.7 juta. Turut didakwa suami Noorashikin, Mohd Khairi Othman, 38, atas pertuduhan sama.

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Tiga sekeluarga terdiri daripada pasangan suami isteri dan kakak, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana terbabit dalam aktiviti rasuah serta pengubahan wang haram dengan  nilai keseluruhan sebanyak RM11.7 juta.

Tertuduh Mohd Khairi Othman, 38, isterinya Noorashikin Azmi, 38, dan kakak kepada Mohd Khairi, Huziana Othman, 49,  mengaku tidak bersalah apabila kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mohd Khairi, seorang pegawai imigresen yang ketika itu berkhidmat di Putrajaya, menghadapi dua pertuduhan rasuah dan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM8.8 juta.

Bagi pertuduhan rasuah, tertuduh itu pada 16 Julai 2015 dan 19 Jun 2015, pada  pukul 11.07 pagi dan 1.18 tengah hari di Malayan Banking, Taman Ria Jaya, Sungai Petani, telah secara rasuah menerima RM100,000 dan RM50,000 daripada dua inidividu.

Wang berkenaan adalah sebagai upah bagi mempercepatkan pengeluaran Surat Kelulusan Pegawai Dagang bagi dua syarikat dan atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut  Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum menurut  Seksyen 24(1) akta yang sama.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Mohd Khairi turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram yang didakwa dilakukannya dari  18 Disember 2015 sehingga 1 Mac 2017  di beberapa lokasi bank tempatan iaitu di Sungai Petani, Jitra dan Alor Setar membabitkan transaksi melibatkan hasil daripada aktiviti haram dengan nilai  RM8.7 juta.

Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum mengikut  Seksyen 4(1) akta yang sama.

Azman kemudiannya menetapkan  jaminan sebanyak RM1.5 juta dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Tertuduh kedua iaitu Noorashikin,  seorang pengarah syarikat,  pula menghadapi lima pertuduhan pengubahan wang haram  yang didakwa dilakukannya dari 7 April 2016 hingga 14 November 2016.

Dia didakwa  melibatkan diri dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram, iaitu menerima wang dan pengubahan wang dengan jumlah keseluruhan RM2.4 juta, melalui transaksi beberapa bank tempatan di Jitra.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum menurut  Seksyen 4(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Mahkamah  menetapkan jaminan sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Tertuduh ketiga, Huziana, yang merupakan ketua jururawat sebuah hospital kerajaan di sini, menghadapi satu pertuduhan iaitu bersubahat dengan Mohd Khairi dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram iaitu menerima wang sebanyak RM500,000.

Kesalahan itu dilakukan pada 9 Jun 2016 di Bank Rakyat di sini dan tertuduh  didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan boleh  dihukum menurut  Seksyen 4(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Hakim Azman menetapkan wang jaminan sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan  pasport antarabangsa ketiga-tiga tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Beliau juga  menetapkan 12 Febuari depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Pasangan suami isteri itu diwakili peguam Ridha Abdah Subri manakala Huziana tidak diwakili peguam.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, A. Hafiizh Abu Bakar. - Bernama 

Tags / Kata Kunci: Taman Ria Jaya , Azman Abu Hassan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan