GB Didakwa Guna Wang Zakat - Berita Mahkamah | mStar

GB Didakwa Guna Wang Zakat

Diterbitkan: Khamis, 4 Januari 2018 1:46 PM

Zabidah ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Khamis susulan dakwaan menyalahgunakan wang zakat.

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Seorang guru besar sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan wang zakat yang sepatutnya disumbangkan kepada pelajar.

Zabidah Sulaiman, 57 yang dituduh di hadapan Hakim  Mohammad Haldar Abdul Aziz didakwa  menyalahgunakan RM5,000 wang zakat daripada Syarikat Ladang Rakyat Terengganu yang  sepatutnya diberikan sebagai sumbangan kepada 100 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Cheneh Baru 2, Kemaman.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika bertugas di sekolah terbabit di bilik mesyuarat  Syarikat Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd pada 13 Julai 2015.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Che Amir Che Musa memohon mahkamah menetap jumlah jaminan yang rendah kerana tertuduh perlu menanggung bapanya yang kini menjalani rawatan ekoran sakit tua.Zabidah kini bertugas sebagai guru besar Sekolah Kebangsaan Pasir Gajah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry memohon jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Mohammad Haidar kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan 11 Februari untuk sebutan.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Zabidah Sulaiman

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan