Kerana Keju, Wanita Dipenjara Semula Dua Bulan - Berita Mahkamah | mStar

Kerana Keju, Wanita Dipenjara Semula Dua Bulan

Diterbitkan: Selasa, 26 Disember 2017 4:25 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang banduan wanita yang sepatutnya dibebaskan dari penjara Ahad ini atas kesalahan dadah pada Selasa terpaksa meringkuk di penjara semula kerana mencuri 28 bungkus keju bernilai RM638.40 milik sebuah pasar raya, bulan lalu.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman penjara dua bulan ke atas Nurul Shafika Safiee, 22, selepas dia mengaku bersalah mencuri 28 bungkusan keju berjenama Chesdale Rich In Calcium di Pasar Raya Aeon Mall Jusco, Metro Prima Kepong, di sini pada pukul 10.15 malam, 18 November lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula Selasa.

Nurul Shafika didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudiannya hendaklah dihukum dengan penjara atau denda atau sebat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan, manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran.

Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan pekerja di pasar raya tersebut ternampak tertuduh bersama seorang lelaki sedang memasukkan keju Chesdale ke dalam dua beg dan apabila pengadu mengekori mereka, seorang daripadanya bertindak melarikan diri dan mencampak beg berisi keju itu ke tepi sebuah kiosk.

Pengadu kemudian menangkap Nurul Shafika yang kemudiannya gagal mengemukakan resit pembayaran untuk barang berkenaan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: keju
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan