Kelucahan Melampau: Pengetua Mengaku Tidak Bersalah

Diterbitkan: Khamis, 7 Disember 2017 6:49 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Seorang bekas pengetua madrasah dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Khamis atas empat pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap empat bekas pelajarnya berumur antara 14 hingga 15 tahun, pada tahun lalu.

Maznan Omar, 34, mengaku tidak bersalah atas semua empat pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Maznan didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap dua remaja lelaki di dalam sebuah rumah di Bandar Sri Indah di sini pada Jun 2016 kira-kira pukul 11 pagi.

Bagi kesalahan ketiga dan keempat, Maznan didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap dua  remaja lelaki pada Jun dan Ogos 2016 masing-masing kira-kira pukul 10.20 malam dan 11 pagi di tempat yang sama.

Pendakwaan keempat-empat kes itu dilakukan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan mengikut  Seksyen 377D Kanun Keseksaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Muhammad Fitri, menawarkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali kepada pegawai penyiasat kes dan dilarang menghubungi saksi pendakwaan atau mangsa.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua berserta  syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali kepada pegawai penyiasat kes dan dilarang menghubungi saksi pendakwaan atau mangsa.

Bagi setiap pertuduhan ketiga dan keempat, Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM3,000 dengan dua penjamin dan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali kepada pegawai penyiasat kes dan dilarang menghubungi saksi pendakwaan atau mangsa.

Majistret menetapkan sebutan semula kes pada  14 Disember ini untuk pengurusan kes serta lantikan peguam.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Pengetua , kelakuan lucah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan