Kerabat Diraja Gagal Merayu

Diterbitkan: Jumaat, 24 November 2017 6:17 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Jumaat menolak permohonan cucu sulung, Tengku Ali Ibni Al-Marhum Sultan Sulaiman untuk kebenaran merayu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman itu bagi memohon perisytiharan bahawa beliau adalah pewaris yang sah takhta Terengganu.

Tengku Sulaiman Tengku Abdul Halim, 60, memohon kebenaran merayu itu bagi mengembalikan semula saman itu ke Mahkamah Tinggi Terengganu untuk perbicaraan selepas dibatalkan pada 21 Disember tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif memutuskan persoalan undang-undang berhubung pewarisan takhta merupakan isu yang telah dimuktamadkan dan isu itu tidak  boleh diadili.

Beliau juga berkata berdasarkan fakta kes itu, prinsip res judicata (perkara yang telah diadili oleh mahkamah dan tidak boleh dilitigasi semula) terpakai dalam kes ini.

Hakim Raus memerintahkan Tengku Sulaiman membayar kos RM15,000 kepada Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Isa @ Ghazali Endut, Tengku Ibrahim Tengku Hussain, Syed Omar Abdul Kadir Al-Idrus dan Shaikh Harun Shaikh Ismail yang merupakan ahli Dewan Pangkuan Diraja Terengganu dan membayar kos RM15,000 lagi kepada kerajaan negeri Terengganu.

Panel itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah dan Tan Sri Ramly Ali.

Pada 31 Julai lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan yang dikemukakan Tengku Sulaiman berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang diputuskan pada 12 Disember 2016.

Dalam pernyataan tuntutannya, Tengku Sulaiman berkata pada 26 September 1942, Tengku Ali menduduki takhta kerajaan Terengganu berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Al-Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III.

Bagaimanapun, Tengku Ali diturunkan takhta pada 5 November 1945 oleh Jemaah Pangkuan Negeri Terengganu (sekarang dikenali sebagai Dewan Pangkuan Diraja Terengganu) dan melantik bapa saudara Tengku Ali iaitu Tengku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III sebagai Sultan Terengganu.

Menurut pernyataan tuntutan itu, anak sulung Tengku Ali, Tengku Abdul Halim Tengku Ali, yang ketika itu berusia 11 tahun, sepatutnya menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Terengganu.

Tengku Sulaiman mendakwa sebagai cucu sulung kepada Tengku Ali, beliau mempunyai hak ke atas takhta Terengganu.

Pada prosiding hari ini, Tengku Sulaiman yang diwakili peguam T. Mura Raju memohon kebenaran merayu terhadap 14 persoalan undang-undang untuk diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Peguam Tan Sri Cecil Abraham, yang mewakili responden bagaimanapun berhujah isu berhubung pewarisan takhta itu telah selesai dan isu itu telah diputuskan mahkamah dalam saman terdahulu yang dikemukakan oleh Tengku Ali. - BERNAMA 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan