Nahas Duke: Dua Pemandu Diarah Bela Diri - Berita Mahkamah | mStar

Nahas Duke: Dua Pemandu Diarah Bela Diri

Diterbitkan: Jumaat, 10 November 2017 2:04 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua pemandu yang didakwa terlibat dalam kemalangan tragis di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) sehingga menyebabkan kematian tiga beranak pada Mei 2015 diperintahkan membela diri atas pertuduhan memandu secara berbahaya, oleh Mahkamah Majistret di sini Jumaat.

Majistret Zilfinaz Abbas membuat keputusan itu selepas mendapati  pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap dua pemandu Perodua Myvi, Siti Noor Aini Mohd Said, 38, dan Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 33.

"Mahkamah mendapati keterangan daripada saksi kesembilan  iaitu orang awam dalam kes ini adalah kredibel dan boleh dipercayai serta disokong dengan keterangan-keterangan daripada saksi lain.

"Mahkamah berpuas hati dengan keterangan-keterangan saksi, oleh itu kedua-dua tertuduh diarahkan untuk membela diri," katanya selepas mendengar keterangan daripada 18 saksi pendakwaan pada perbicaraan kes itu.

Mahkamah menetapkan 13 dan 14 Disember untuk kedua-dua tertuduh membela diri atas pertuduhan memandu secara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka yang berusia enam bulan, Nur Firuza Annisa.

Peguam, Omar Bakhi Ahmad yang mewakili Siti Noor Aini dan  S. N. Seelan yang mewakili Mohammad Fizal Reza memaklumkan bahawa kedua-dua tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Km6, Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta antara 12.31 tengah malam dan 12.35 tengah malam pada 2 Mei 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhd Faizal. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: nahas Duke , Myvi
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan