Doktor Gigi Palsu Dipenjara, Denda RM70,000 - Berita Mahkamah | mStar

Doktor Gigi Palsu Dipenjara, Denda RM70,000

Diterbitkan: Jumaat, 27 Oktober 2017 2:57 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang doktor gigi palsu dihukum penjara sebulan dan denda RM70,000 kerana mewujudkan klinik gigi tanpa kebenaran Kementerian Kesihatan.

Chen Jianghong, 48 yang juga rakyat China mengaku bersalah kerana mengusahakan klinik pergigian persendirian di bilik hotel di sini.

Hakim memerintahkan supaya hukuman itu bermula 28 September iaitu hari sama Chen ditahan.

Beliau juga mengarahkan tertuduh supaya dipenjara selama enam bulan jika gagal membayar denda.

Hakim Harmi Thamri berkata, kesalahan yang dilakukan Chen adalah serius  kerana tertuduh tidak mempunyai pengalaman sebagai doktor gigi dan menjalankan operasi klinik yang tidak didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan.

Tambah hakim itu, Chen yang juga warga asing tidak seharusnya memberi khidmat pergigian tanpa sebarang sijil daripada Kementerian Kesihatan.

Terdahulu, dalam proses mitigasi, peguam Chen, Tan Teck Yew memaklumkan anak guamnya yang juga pembantu kepada doktor gigi menyara keluarganya termasuk ibubapanya, isteri dan anak berusia lapan tahun di China.

Timbalan Pendakwa Raya, Kementerian Kesihatan, Nurul Khairiyah Samsudin menggesa mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh kerana ia melibatkan kepentingan awam dan keselamatan pesakit.

Chen ditahan pegawai kementerian itu ketika menjalankan rawatan terhadap seorang lelaki di bilik sebuah hotel. Ketika itu, Chen memakai topeng muka dan berdiri di hadapan seorang lelaki yang sedang duduk di kerusi.

Tertuduh sedang memegang peralatan pergigian pada sebelah tangan, manakala satu lagi tangannya pada mulut lelaki berkenaan. Difahamkan lelaki berkenaan mendapatkan khidmat Chen untuk membuat gigi palsu.

Tags / Kata Kunci: Chen Jianghong , Hamri Thamri

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan