Setiausaha Politik Menteri Dibebas Jaminan SPRM - Berita Mahkamah | mStar

Setiausaha Politik Menteri Dibebas Jaminan SPRM

Diterbitkan: Khamis, 5 Oktober 2017 5:05 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Peter Runin dibebaskan pada Khamis daripada tahanan reman lapan hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang peruntukan yang disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Majistret Ainna Sherina Saipolamin membenarkan lelaki berusia 61 tahun itu dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM30,000.

Beliau merupakan individu kelima yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang peruntukan berkenaan.

Perintah reman Runin sepatutnya berakhir pada 7 Okt, bagaimanapun siasatan terhadapnya telah selesai.

Beliau dilaporkan ditahan selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM pada 12.30 tengah hari 27 Sept lepas, dan siasatan terhadapnya dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pada 13 September lepas, SPRM menahan empat individu kerana disyaki menyeleweng dana kerajaan bernilai hampir RM40 juta yang sepatutnya disalurkan kepada sebuah perbadanan kemahiran bagi tujuan program latihan.

Mereka yang ditahan adalah seorang ketua eksekutif bergelar Datuk berumur 58 tahun, setiausaha perbadanan berumur 34 tahun, penolong pegawai kewangan berumur 32 tahun dan pengarah sebuah syarikat yang bergelar doktor berumur 38 tahun di beberapa lokasi di ibu negara dalam operasi khas SPRM.

Bagaimanapun, kesemua individu terbabit yang direman enam hari bermula 14 Sept lalu masing-masing dibebaskan dengan jaminan SPRM. - Bernama

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan