Sogok Polis RM50, Remaja Didenda RM5,000

Diterbitkan: Rabu, 27 September 2017 4:02 PM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Seorang remaja didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, Rabu selepas mengaku bersalah atas tuduhan memberi suapan wang tunai RM50 kepada seorang anggota polis April lalu, supaya tidak mengambil tindakan saman ke atasnya yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

Hakim  S. Indra Nehru menjatuhi hukuman itu selepas remaja lelaki berumur 18 tahun itu mengaku bersalah atas tuduhan pilihan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya.

Remaja itu turut berdepan dengan hukuman lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Pada 10 Ogos lepas remaja itu mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan dan hukuman ke atasnya ditetapkan hari ini bagi mendapatkan laporan akhlak remaja itu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dia didakwa menawarkan rasuah, RM50 kepada Lans Koperal Mohd Farid Ahmad yang bertugas di Balai Polis Pangkor, di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Hwa Lian, Pasir Bogak, Pangkor kira-kira 2 petang pada 18 April lepas.

Remaja itu sebelum ini dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau mengikut mana-mana yang tinggi.

Peguam Kenny Lai Choe Ken, yang mewakili tertuduh memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara memandangkan remaja itu menyesali perbuatannya selain ia merupakan kesalahan pertama.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Wahida Jalaluddin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal agar dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak mengamalkan rasuah.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Balai Polis Pangkor , Pasir Bogak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan