Pelajar Mengaku Baling Mercun Bola Di Stadium Shah Alam - Berita Mahkamah | mStar

Pelajar Mengaku Baling Mercun Bola Di Stadium Shah Alam

Diterbitkan: Khamis, 7 September 2017 7:00 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang pelajar lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan melontar dan meletupkan dua biji mercun bola selepas final bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 antara Malaysia dan Thailand di Stadium Shah Alam, bulan lalu.

Pelajar berusia 16 tahun itu membuat pengakuan tersebut dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret P. Sarulatha dan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurulhuda Ramli pada Khamis.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 10 Oktober ini untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sarulatha turut membenarkan pelajar tersebut dibebaskan dengan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan, pelajar lelaki itu didakwa meletupkan dua mercun jenis bola dan melontarkannya ke aras bawah stadium berkenaan yang boleh membahayakan nyawa orang lain.

Perbuatan itu dilakukan di tingkat tiga, Kondrum D, Stadium Shah Alam, kira-kira jam 10.50 malam pada 29 Ogos lepas.

Pelajar terbabit didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Baling Mercun Bola
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan