Bekas Timbalan Gabenor BNM Terkejut Jumlah Kerugian Forex

Diterbitkan: Rabu, 30 Ogos 2017 7:34 PM

Tan Sri Dr Lin See Yan meninggalkan Mahkamah Rayuan pada Rabu selepas prosiding Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia Sekitar Tahun 1990-an.
-fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Lin See Yan memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)  bahawa beliau terkejut dengan kerugian besar dialami bank itu dalam urus niaga mata wang asing (forex).

Dr Lin berkata, Gabenor BNM ketika itu, Tan Sri Jaffar Hussien bimbang dan terkejut apabila beliau memaklumkan perkara itu kepadanya.

Menurut Lin, beliau pertama kali mengetahui tentang kerugian dalam urus niaga forex itu daripada Lee Siew Kuan, yang menjadi pembantu khas kepada Jaffar pada awal 1990-an dan seterusnya daripada rakan beliau yang bertugas dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

"Kawan-kawan daripada IMF memberitahu saya bahawa Bank Negara Malaysia terlibat dengan urus niaga hadapan terbuka mata wang asing  yang besar jumlahnya dalam pelbagai mata wang, terutama di New York dan London dan Bank Negara Malaysia mengalami kerugian besar," katanya.

Lin berkata selepas itu beliau pergi berjumpa dengan Jaffar yang mengesahkan kerugian itu.

"Saya bertanya kepada Tan Sri Jaafar berapa banyakkah kerugian itu dan beliau memberitahu saya beliau tidak pasti,” kata Lin, yang menyandang jawatan timbalan gabenor dari 1980 hingga Julai 1994.

Kata Lin, Jaffar juga memberitahu beliau bahawa Tan Sri Nor Mohamed Yakcop adalah ketua peniaga.

"Saya katakan kepada Tan Sri Jaffar bahawa oleh kerana beliau tidak tahu jumlah kerugian yang dialami dan berapa banyak lagi yang akan dialami, lebih baiklah kita lakukan siasatan untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang kerugian itu, bagaimana ia boleh berlaku dan berapa banyak lagi bank terdedah kepadanya,” kata beliau.

Lin berkata Jaffar bersetuju Lee akan melakukan siasatan awal dengan bantuan bekas Penolong Gabenor BNM Datuk Abdul Murad Khalid.

Menurut Lin, sepanjang pengetahuannya, Nor Mohamed adalah ketua peniaga yang melaporkan secara terus kepada gabenor.

Kata Lin, kemudian Lee dan Abdul Murad memberitahu beliau bahawa BNM mempunyai kedudukan terbuka yang besar jumlahnya dalam pelbagai mata wang yang masih lagi jauh tempoh hadapannya.

"Ini bermakna Bank Negara mungkin terus mengalami kerugian apabila tiba masanya untuk melunaskan bayaran kepada pihak yang berurus niaga. Sebagai Bank Pusat, risiko ini tidak boleh diterima dan Tan Sri Jaffar bersetuju,” katanya.

Lin berkata beliau memaklumkan kepada gabenor itu bahawa Nor Mohamed tidak sepatutnya dibenarkan terus mengendalikan urus niaga dan meminta Abdul Murad mengambil alih serta menutup semua kedudukan hadapan terbuka.

Katanya, semua urusan perakaunan BNM berkaitan urus niaga forex diserahkan kepada Jaffar memandangkan beliau seorang akauntan paling tersohor serta memiliki pengalaman yang diperlukan.

“Jaffar seorang manusia terhormat, tetapi beliau terlalu pantas dalam urusan berkaitan forex dan beliau memberi kepada mereka (pengendali) terlalu banyak kebebasan,” kata Lin ketika membaca kenyataan saksinya pada hari keempat prosiding RCI untuk menyiasat kerugian yang dialami BNM dalam urus niaga mata wang asing pada 1990-an.

Saksi ke-12 itu juga memberitahu bahawa kata-kata terakhir Jaffar kepadanya ialah oleh kerana beliau yang menyebabkan BNM berada dalam keadaan kusut, maka beliau akan menyelesaikan perkara itu.

Lin berkata Jaafar juga menyebut bahawa beliau tidak tahu siapakah yang membuat keputusan mengenai urus niaga forex yang besar jumlahnya itu dari 1990 hingga 1994.

Kata saksi itu, beliau dipanggil menghadap oleh Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kecewa dengan kerugian besar urus niaga forex yang dialami BNM dan bersetuju dengannya (Lin) bahawa semua kedudukan yang masih ada pada masa itu perlu ditutup dengan secepat mungkin.

Lin berkata beliau bagaimanapun tidak diminta berbincang tentang kerugian dalam urus niaga forex itu dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi "saya tidak tahu jika ada orang lain yang memaklumkan kepada Perdana Menteri tentang kerugian dalam urus niaga mata wang asing yang dialami BNM”.

Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan mempengerusikan panel lima anggota suruhanjaya itu, yang turut terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah) Tan Sri Saw Choo Boon dan anggota Institut Akauntan Malaysia K. Puspanathan.

-Bernama
Tags / Kata Kunci: RCI forex , Tan Sri Dr Lin See Yan

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan